Friday, July 10, 2009

UCAPAN MENJUNJUNG KASIH

UCAPAN MENJUNJUNG KASIH
TITAH UCAPAN SBP YANG Di-PERTUAN AGONG




Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ke-12




Tema:

EVOLUSI KEPARLIMENAN - TUNJANG PEMBANGUNAN NEGARA







Oleh:


Dato’ Dr Mohamad Shahrum Osman
Ahli Dewan Rakyat Kawasan Parlimen Lipis




Parlimen Malaysia















Tuan Yang Dipertua,

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim
Al-hamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wabihi Nasta’in…
Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera…

Terima kasih saya ucapkan kerana memberi peluang buat saya berbahas di dalam Dewan Rakyat yang mulia ini sebagai menyahut segala intipati yang disentuh di dalam Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah, pada hari Selasa, 29 April 2008 yang lalu.

Ucapan Titah Baginda banyak menyentuh pelbagai soal merangkumi politik dan kepimpinan negara, keistimewaan Parlimen, 50 tahun fasa kedua kemerdekaan, generasi muda, Misi Nasional, modal insan, ekonomi, sektor perkhidmatan, sukan, sektor pertanian, dasar luar negara dan sebagainya.

Ini memperlihatkan keprihatinan Tuanku dalam pelbagai aspek yang berlaku di dalam dan luaran negara serta di peringkat antarabangsa. Saya melihat pandangan jauh Tuanku menerusi pembacaan, pergaulan dan pengalaman membuktikan kita harus beraksi bukan sahaja di peringkat dalaman tetapi perlu aktif di peringkat global dalam menunjukkan bangsa Malaysia khususnya bangsa Melayu sudah mampu bersaing dengan tamadun-tamadun lain di dalam dunia ini. Sebut sahaja di Kutub Utara, Kutub Selatan, Gunung Everest, lautan seantero, angkasa lepas, malah di negara-negara dunia lain, bangsa Malaysia sudah berpaksi dengan teguh sekali gus melambangkan ketamadunan bangsa Malaysia yang terbilang.


Tuan Yang Dipertua,

1. Syukur pada Illahi bahawasanya negara kita yakni Malaysia terus menerus makmur dan dilimpahi nikmat-nikmat rezeki sama ada dari aspek pembangunan ekonomi, sosial, budaya malah kestabilan politik, keselamatan, keamanan, kemakmuran yang masih dapat dikekalkan oleh pemerintah Barisan Nasional sejak kemerdekaan lagi.

2. Dengan menerajui peringkat Pusat sekali lagi, tidak bermakna ketidakperolehan 2/3 majoriti menunjukkan kerajaan Barisan Nasional lemah dan tidak mempunyai kuasa mutlak. Secara realitinya, kerajaan Barisan Nasional masih kuat walaupun lanskap politik tanah air telah berubah, tetapi ini menunjukkan betapa suburnya sistem berdemokrasi berperlembagaan yang ditunjangi sejak 50 tahun lalu.

3. Kita menyedari betapa rakyat sememangnya mahu perubahan dari kerajaan, maka itu selaras dengan slogan lalu, ‘Selamat, Aman dan Makmur’ sememangnya masih menepati apa yang kita lalui sehingga ke hari ini.

4. Dalam konteks ‘Selamat’, saya melihat kerajaan begitu bersungguh-sungguh dalam mengurangkan indeks jenayah negara, menambah 60,000 anggota polis menjelang 2011, membina 150 balai dan pangkalan rondaan bagi meningkatkan kehadiran polis dalam kawasan setempat.

5. Malah, usaha PDRM dalam menyusun semula persempadanan daerah polis agar lebih sepadan antara sumber polis dan keperluan keselamatan setempat amat dialu-alukan. Rakyat perlu melihat betapa kemajuan keselamatan awam begitu pesat sekali di bawah kerajaan Barisan Nasional, umpamanya, meningkatkan gaji anggota polis dan tentera sebanyak 9 hingga 42 peratus, menggandakan peruntukan pembangunan pasukan polis kepada RM3.8 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-Sembilan serta menubuhkan Suruhanjaya Di-Raja bagi Penambahbaikan Operasi dan Pengurusan Polis.

6. Apatah lagi negara bertuah ini telah pun memasuki fasa kedua 50 tahun kemerdekaan. Satu ungkapan kata yang mempunyai makna yang besar dan mahukan setiap jiwa di negara ini mempunyai jiwa yang besar dalam membangunkan negara ke arah lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

7. Atas dasar itu, dalam konteks ‘Aman’, kestabilan politik dan ekonomi digapai negara pada masa ini membuktikan bangsa Malaysia tetap bersatu. Lihat sahaja pada hari ini, seramai 222 ahli Parlimen dari pelbagai bangsa yang mewakili parti masing-masing masih boleh duduk di bawah satu bumbung dalam Dewan Rakyat yang mulia ini.

8. Penerapan nilai-nilai ‘Aman’ selama ini telah menyaksikan kita semua boleh berbahas dan berucap mengikut lunas-lunas yang tidak melampaui batas. Pencapaian ekonomi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 18 peratus dari RM427 bilion kepada RM504 bilion. Semua sektor memperlihatkan pertumbuhan termasuk kegiatan baru seperti pertanian moden, bioteknologi, ICT dan perbankan Islam.

9. Lebih menyakinkan, perdagangan antarabangsa meningkat 26 peratus dari RM881 bilion kepada RM1.11 trilion yang lalu. Pendapatan purata isirumah bulanan telah pun meningkat dari RM3,249 kepada RM3,617. Jika diambil semua faktor ini, rakyat bakal menikmati untuk tempoh lima tahun ini, saya berasakan adanya peningkatan produktiviti, pendapatan dan daya saing negara, dapat menangani kesan kenaikan harga bagi menjamin kualiti hidup rakyat yang bermutu, malah kerajaan akan memupuk dan membantu 1 juta syarikat dan usahawan IKS dalam masa 5 tahun di samping menjana lebih 2 juta peluang pekerjaan yang bermutu dalam tempoh 5 tahun.

10. Tidak semudah disangka pencapaian 50 tahun kemerdekaan telah dapat diisi setakat ini. Sesudah dijajah selama 450 tahun, kita sebagai bangsa Malaysia seharusnya mensyukuri apa yang telah dicapai dan akan dicapai pada masa depan di bawah barisan pemimpin kita yang lalu. Kerana itu, selaku ahli-ahli Yang Berhormat, tanggungjawab untuk memastikan negara terus segar merdeka, perlulah dipikul dengan penuh komitmen, telus, mempertingkatkan integriti dan sentiasa dekat di hati rakyat jelata.


Tuan Yang Dipertua,


11. Kita tidak boleh lari dari memperkatakan soal ‘kemakmuran’. Dalam bahasa mudah untuk mengukur kemakmuran sesebuah negara, unjuran ekonomi kerap kali dijadikan kayu pengukur pencapaian kemajuan sebuah negara, pendapatan per kapita sebuah keluarga serta kestabilan geo ekonomi-politik. Tetapi di negara kita, makan sekurang-kurangnya empat hingga lima kali sehari membayangkan betapa makmurnya rakyat jelata termasuk warga asing yang secara sah atau tidak sah boleh menikmati dengan perut yang kenyang.

12. Faktor suasana ceria atau Feel Good Factor (dengan izin) sudah dirasai oleh setiap lapisan masyarakat di negara kita. Lihat sahaja pembangunan seimbang yang dicapai di mana pengurangan kadar kemiskinan tegar dari 1.2 peratus kepada 0.7 peratus jumlah penduduk dan mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhannya dari 5.7 peratus kepada 3.5 peratus. Malah, usaha merapatkan jurang pendapatan antara desa dan bandar dari 1:2.11 kepada 1:1.99 melepasi sasaran bagi tahun 2010. Saya juga melihat kerajaan turut berjaya membuka 14 hospital baru, 22 klinik kesihatan baru dan 64 klinik desa baru serta telah membina 12,190 kilometer jalan-jalan kampung.


Tuan Yang Dipertua,


13. Memandangkan ekonomi negara terus pesat apatah lagi pada tahun 2008, saya percaya pertumbuhan KDNK benar dijangka berkembang kepada lebih 6.3 peratus. Perkembangan arus ekonomi itu dilihat berdasarkan pengembangan berterusan aktiviti sektor swasta serta dasar dan strategi kerajaan yang pragmatik dalam mempelbagaikan sumber pertumbuhan baru. Sehubungan itu, syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan iaitu (GLC) perlu memainkan peranan yang amat besar dalam menjayakan agenda Misi Nasional.

14. Pernah ketika dulu, kerajaan ada menyebut empat kriteria utama dalam melantik pegawai, ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ketua pegawai operasi (COO) menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu perlu mempunyai integriti, rajin, cerdik dan memiliki sifat bermuhasabah serta sanggup menerima teguran dan pandangan orang lain, di samping mengelak sifat sombong. Jadi peneraju GLC pada masa ini harus faham akan matlamat asal mewujudkan GLC demi kepentingan negara. Transformasi ini penting kerana peranan GLC adalah sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi. GLC juga bertanggungjawab memberikan perkhidmatan strategik seperti pengangkutan, air dan perkhidmatan seperti telekomunikasi, perbankan dan penerbangan.

15. Hari ini pun, sekurang-kurangnya 50 GLC yang tersenarai di Bursa Malaysia mencatatkan lebih 36 peratus modal pasaran bursa itu. Secara terkumpul GLC adalah majikan terbesar selepas kerajaan, membabitkan antara tujuh hingga lapan peratus tenaga kerja negara. Lebih penting lagi GLC sebenarnya mencerminkan keadaan 'kesihatan' ekonomi negara. GLC juga ada kaitannya dengan kedudukan ekonomi Bumiputera serta pegangan ekuiti mereka secara keseluruhan. Kita perlu lihat bahawa betapa penting GLC yang kerap diundang masalah, kontroversi serta jatuh bangun dan kesannya pada ekonomi negara, GLC menjadi lambang kejayaan pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara.

16. Kita mahu GLC menjadi sebuah syarikat raksasa atau multinational companies (MNC) yang mampu mengubah atur cara dan struktur ekonomi dunia. Cuba kita lihat daripada 100 'ekonomi' yang terbesar di dunia, hanya 47 adalah negara bangsa (nation states), selebihnya adalah MNC. Sebuah MNC, seperti Exxon-Mobil dari segi jualan melebihi Keluaran Negara Kasar (GDP) semua melainkan 20 negara di dunia. Dalam konteks ini, betapa pentingnya peranan GLC. GLC sepatutnya boleh menjadi MNC. Malah membina empayar niaga yang nilai dan hala tujunya selari dengan tuntutan Islam dan keperluan negara tentulah membawa banyak makna pada negara ini.

17. Lebih banyak GLC harus mengikut jejak seperti Petronas (sebagai contoh terbaik) yang menjadi salah sebuah syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500. Malah Johor Corporation juga boleh menjadi contoh GLC terbaik yang mana mempunyai 240 syarikat yang beroperasi di bawahnya dengan tenaga kerja melebihi 50,000 orang dan nilai harta melebihi RM7.9 bilion serta pendapatan tahunan kumpulan melebihi RM2.5 bilion. Justeru itu, GLC harus diteliti dengan kanta dan semangat keterbukaan yang baru. GLC juga harus bersedia mengubah cara dan pendekatannya. Kita tahu GLC mempunyai amanah yang besar dalam menjayakan aspirasi bangsa dan negara khususnya memastikan RMK-9 menjadi kenyataan. Amanah itu tidak boleh diabaikan. GLC perlu terus berani meneroka dan bersaing merebut peluang-peluang perniagaan di persada antara bangsa. GLC ini tidak hanya gagah di Malaysia sebagai “jaguh kampong” tetapi gagah juga dipersada antara bangsa. Peluang pendedahan ini perlu kerajaan perlu diberi perhatian agar kepakaran dan tenaga kerja tempatan ini dapat diketengahkan.

18. Malah, saya berharap juga GLC ini dipastikan mengambil siswazah yang menganggur. Walaupun di bawah Khazanah Nasional Berhad telah menempatkan 1,132 siswazah yang menganggur di sembilan GLC milik perbadanan itu pada tahun sebelum-sebelum ini, tetapi ia terlalu rendah. Sedangkan kita mempunyai lebih 30,000 graduan yang menganggur. Tidak mungkin kesemua graduan yang menganggur tidak sesuai di dalam bidang yang diceburi oleh 50 GLC di bawah Khazanah ? GLC ada cawangan di merata dunia, tidak adakah siswazah ini yang layak mengisi jawatan yang ada?




Tuan Yang Dipertua,


19. Saya ingin menyentuh soal Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kita semua tahu kerajaan negeri DAP, Pulau Pinang mengatakan akan mengenepikan DEB dan mengamalkan sistem tender terbuka, kerajaan PKR Selangor akan mengkaji semula perlaksanaan DEB dengan mengambil kira kaum-kaum lain yang kedudukan dan tahap ekonominya sama dengan Bumiputera serta kerajaan Perak tidak akan memberi penekanan terhadap pengkhususan DEB kepada masyarakat Melayu sahaja.

20. Adakah selama ini pun DEB benar-benar memberi manfaat kepada kaum Melayu sahaja. Lihat statistik yang diperolehi oleh saya iaitu sumber EPU 2006 menunjukkan pemilikan ekuiti orang Melayu ialah 18.9 peratus, bukan Melayu (40.6 peratus) dan orang asing (40.5 peratus); pemilikan syarikat – orang Melayu (20.3 peratus), bukan Melayu (75.7 peratus) dan orang asing (4 peratus) dan mereka yang memegang jawatan CEO – orang Melayu (20 peratus), bukan Melayu (70.4 peratus) dan orang asing (9.6 peratus).

21. Sekarang ini siapa yang lebih daif atau kurang mendapat tempat atau seolah-olah dipinggirkan di tanah sendiri, kalau bukannya masih golongan Bumiputera atau orang Melayu. Sebab itu, kita masih memerlukan DEB sebagai lonjakan deras kedua dalam memastikan orang Melayu akan terus maju dan maju. Jika bukan kerana DEB, mungkin ada di antara Yang Berhormat sekarang berada merempat dan mungkin menjadi pelarian. Kalau benar DEB ini tidak baik untuk kesejahteraan rakyat, saya cabar pihak pembangkang melahirkan satu dasar yang lebih baik dari dasar DEB sekarang.


Tuan Yang Dipertua,

22. Saya ingin menyentuh soal tradisi sistem beraja dan kesultanan Melayu unik yang tidak mungkin ditemui di negara lain di dunia. Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara dan mengetuai institusi Raja Berperlembagaan di negara kita selepas sekian lama.

23. Kewujudan jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah jaminan kepada ketuanan Melayu di Malaysia serta benteng paling ampuh dalam mempertahankan agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu di Malaysia. Justeru, seluruh rakyat Malaysia berasa bangga dengan keunikan sistem ini yang tidak mengabaikan kedaulatan kesultanan Melayu, iaitu pentadbir utama kerajaan Malaysia walaupun sistem demokrasi berparlimen diamalkan di Malaysia dalam memilih pemerintah negara.

24. Mempertahankan institusi raja di Malaysia adalah kewajipan setiap bangsa Malaysia dan identiti utama bagi bangsa Melayu. Sultan Melayu yang mentadbir setiap negeri melambangkan penguasaan dan identiti bangsa Melayu dan pada masa yang sama menjamin kedaulatan agama Islam di Malaysia. Segala masalah yang wujud harus segera dirujuk kepada Seri Paduka bagi mempertahankan hak serta mendapat keadilan yang sewajarnya.

25. Segala usaha yang mencabar dan membelakangkan peranan Ketua Agama Islam di Malaysia harus dibanteras, manakala anasir jahat yang merancang untuk merendahkan serta menghapuskan ketuanan Melayu-Islam harus dibendung dengan segera. Yang di-Pertuan Agong adalah harapan utama serta mampu mempertahankan serta menjamin kelangsungan ketuanan Melayu-Islam di Malaysia untuk selamanya.

26. Semoga dengan pemasyhuran Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13, maka negara kita akan sentiasa berada dalam keadaan aman dan harmoni di bawah naungan Seri Paduka. Semangat saling menghormati dan toleransi antara kaum di Malaysia yang juga formula keharmonian pastinya akan lebih utuh dengan keprihatinan dan naungan daripada Yang di-Pertuan Agong. Seluruh bangsa Malaysia sentiasa ingin hidup dalam keadaan aman dan harmoni dan baginda Yang di-Pertuan Agonglah yang menjadi teraju utamanya.

Kalau alim minta doanya,
Kalau kaya minta ringgitnya,
Kalau cerdik minta akalnya,
Kalau rimbun minta berteduh.

Kalau mencari tempat bermandi,
Pertama telok; kedua pantai,
Kalau mencari pemimpin negeri,
Pertama elok, kedua pandai.
Daulat Tuanku.


Tuan Yang Dipertua,

27. Saya ingin menyentuh soal modal insan. Untuk merealisasikan erti pembangunan modal insan ini, kita harus menyerlahkan pengisian modal insan dalam bentuk amalan. Banyak cara untuk kita berbakti dan membuat pengorbanan besar untuk bangsa, masyarakat dan negara. Umpama pasukan keselamatan, mereka terpaksa mempertaruhkan nyawa bagi memastikan negara aman dan tenteram. Kakitangan sektor awam menggunakan pelbagai kemahiran untuk memastikan negara maju, manakala sektor swasta pula memacu pembangunan ekonomi negara dengan projek berdaya maju.

28. Biar apapun bentuk khidmat dan amalan kita demi negara tercinta, peranan dan modus operandi pengisian pembangunan modal insan memerlukan rakyat yang berilmu dan berakhlak mulia dengan etika kerja cemerlang, gemilang dan terbilang. Inilah modal insan yang selalu disebut-sebut oleh Perdana Menteri yang dikasihi, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam konteks memperkasakan masyarakat Malaysia di bawah pembangunan modal insan yang lestari.

29. Modal Insan dijana menerusi sistem pendidikan mantap. Ia tidak terhad kepada pengajian formal dan pengijazahan saja. Modal insan yang harus dikembangkan merangkumi pelbagai peringkat dan usia. Peringkat profesional dan pengurusan memerlukan pendidikan formal yang baik dan berkualiti di institusi pengajian tinggi (IPT) yang juga bermutu dan prestij. Golongan separa profesional dan pekerja am perlu dibangunkan dari segi kemahiran, sikap dan kesungguhan.

30. Atas faktor itu, sesebuah negara yang maju sebenarnya bukan hanya didukung oleh profesional yang berdaya saing dan mempunyai sikap proaktif, malah ditunjangi oleh pekerja separa profesional dan pekerja am yang berkualiti dan berjiwa besar. Mereka bangga melakukan apa saja untuk kemajuan diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Jika mereka berkhidmat sebagai petani, mereka berusaha untuk menjadi petani yang berdaya maju dan inovatif menggunakan pelbagai pengetahuan dan teknologi moden untuk mempertingkatkan produktiviti. Di manakah tahap petani-petani kita?

31. Jika mereka bekerja sebagai pensyarah, mereka berfungsi sebaiknya menjadi peneroka dan pengajar ilmu yang terbaik dan cemerlang. Kualiti rakyat yang tinggi ini hanya terjana menerusi amalan dan etika kerja yang baik, budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat. Pendidikan dalam konteks semasa memerlukan dinamisme yang lebih berdaya saing kerana saingan kita semakin canggih. Kita memerlukan bukan hanya sistem pendidikan yang kemuncaknya ialah proses pengijazahan, malah penghayatan ilmu dalam bentuk yang tersirat. Ilmu itu tersirat dalam perwatakan, pencaraan dan keperibadian seseorang. Ia tersirat dan semakin mantap sepanjang hayat kerana proses pembelajaran tidak terhenti dalam majlis konvokesyen. Sebagai contoh, bagaimana hendak melakukan pemodenan pada petani-petani sedangkan pegawai-pegawai petanian yang ada masih pemikiran lama dan kurang profesional.

32. Hal ini dapat diamalkan menerusi pembacaan yang lancar dan pelbagai, majlis ilmu yang sentiasa meriah dan penonjolan tokoh ilmu sebagai model ikutan masyarakat. Ketika membincangkan kepentingan dan ideal ilmu, bekas Presiden Universiti Chicago, Dr Robert Hutcin, ada menyebutkan mengenai tradisi ilmu dalam sesebuah masyarakat meletakkan nilai ilmu pada martabat tertinggi.


33. Bagi masyarakat sedemikian, nilai ilmu mengatasi segala-galanya, termasuk selebriti hiburan, harta mahu pun status. Keadaan sedemikian pernah wujud dalam tradisi ilmu Barat dan ketika keagungan empayar Islam. Soalnya, apakah kita berjaya mewujudkan persekitaran ilmu yang sedemikian segar dan dinamik? Apakah percambahan IPT ketika ini mendokong pemantapan budaya ilmu yang memperteguhkan lagi daya saing dan daya fikir? Apakah tidak mustahil untuk kita menjadi pusat keilmuan di rantau ini dengan adanya universiti awam dan swasta yang mantap dan sekolah berkualiti?

34. Tamadun baru yang berlaku dalam dunia masa ini disebabkan pengaruh pengetahuan baru dalam pelbagai bidang. Pengetahuan merupakan kuasa perubahan sosial dan ekonomi. Dengan berpandukan kepada teknologi maklumat, teknologi digital, teknologi media massa yang serba canggih dan hebat, pengetahuan sudah dapat disebarkan dengan lebih meluas dan berkesan. Di jari-jari kita sekarang sudah boleh mendapat maklumat dengan pantas dan terkini. Telefon bimbit yang dibawa oleh kita sudah boleh memainkan peranan maklumat yang penuh dengan pengetahuan. Era telefon bimbit sudah boleh menyalurkan maklumat internet, pesanan ringkas (SMS), MMS, perbualan video serta menonton siaran televisyen dengan teknologi 3G. Tidak ketingggalan blog-blog di internet yang tumbuh merata seperti cendawan tumbuh. Terpulang kepada kita samaada teknologi ini memberi memunafaatkan atau sebaliknya. Pengawalan yang keterlaluan oleh pihak kerajaan boleh menghalang minda rakyat.

35. Pengetahuan saintifik dan pengetahuan sudah merubah perspektif baru tentang pelbagai perkara dapat mengangkat tamadun baru kehidupan manusia. Pengetahuan tidak lagi terbatas di sekolah atau di institusi pengajian tinggi semata-mata malahan ia telah mengambil ruang perubahan yang terbuka dan dapat disebarkan dengan lebih dinamik. Usaha bagi membentuk masyarakat pekerja atau golongan mahasiswa yang berilmu memerlukan perubahan paradigma pendidikan, latihan dan pengurusan sumber manusia.

36. Pembentukan masyarakat berpengetahuan harus menekankan proses pembelajaran yang berterusan dan menjadikan slogan ‘learning organization’ sebagai satu pendekatan membentuk masyarakat berpengetahuan. Inilah yang dicanang-canangkan Perdana Menteri kita supaya setiap warga Malaysia sentiasa ‘up to date’. Tidak kiralah peringkat usia pun, seseorang pemimpin perlu mengemaskini mindanya bagi memacu hala tuju negara, seseorang Naib Canselor perlu mempunyai idea dan visinya supaya universitinya berada di dalam ranking yang terbaik, manakala golongan mahasiswa harus mempunyai minda yang pesat supaya kelak nanti, negara mempunyai golongan pelapis yang memiliki MINDA KELAS PERTAMA.

37. Kita harus mengeksport ilmu pendidikan ala-Malaysia ke luar negara. Saya mengesyorkan kita menggunakan keupayaan institut pengajian tinggi awam mengembangkan sayap mereka ke luar negara terutama ke negara-negara kedua dan ketiga seperti Indonesia, Kemboja, Vietnam, Brunei, negara-negara di Afrika dan negara-negara di Timur Tengah. Saya melihat sudah ada institut pengajian tinggi swasta di negara ini telah mengembangkan sayap mereka di luar negara seperti Kolej Universiti Lim Kok Wing. Mengapa tidak IPTA kita yang mendahulukan dulu ? Mengapa masih kita takut-takut ? Universiti Nottingham sudah pun membuka cawangan mereka di sini. Mengapa UKM atau UM sendiri tidak sedemikian mengembang sayap cawangan ke negara luar? Penerokaan angkasa lepas baru-baru ini seharusnya dapat menyuntik satu dimensi baru terhadap mata pelajaran ini dan kajian-kajian di Universiti.

38. Sebagai contoh, betapa ramainya pelajar Indonesia daripada pelusuk pulau datang mencari ilmu di UKM di peringkat sarjana. Mengapa tidak Naib Canselor UKM tidak melihat betapa untung dan manfaat sekiranya dibuka cawangan UTM di Pulau Sulawesi atau Pulau Sumatera sendiri. Inilah yang kita mahu – melangkah jauh ke depan.

39. Kita harus mengetahui bahawa modal insan berbeza sifatnya, yakni semakin banyak digunakan, semakin baik dan semakin banyaklah jadinya. Modal insan bersifat `endogenou'. Ia tidak terhakis dan ia milik semua. Perkongsian ilmu tidak seperti perkongsian sumber asli yang mengehadkan penggunaan pemilik asal. Profesor Lucas penerima anugerah Nobel Ekonomi 1995 menyifatkan modal insan sebagai satu elemen penting bagi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Model pertumbuhan ekonomi terkini meletakkan modal insan sebagai faktor pengaruh yang perlu diutamakan oleh pembentuk polisi. Modal insan boleh digilap dan dipupuk. Ia tiada had. Agenda Perdana Menteri yang menampilkan modal insan memberi ruang untuk semua memupuk dan menggilap tahap pengetahuan masing-masing. Bila agaknya rakyat kita boleh memperolehi anugerah Nobel?

40. Penjenamaan semula kolej komuniti dan peningkatan enrolmen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada 200,000 pelajar menjelang 2010 sebagai contohnya, adalah langkah besar Kementerian Pengajian Tinggi bagi membolehkan seramai mungkin modal insan digilap. Sejak ia mula diperkenalkan pada 2000, kolej komuniti di seluruh negara sudah melatih 41,307 orang pelajar berkemahiran yang sebahagian besarnya lepasan SPM. Dengan konsep pendidikan bersepadu dwi-sistem (kuliah dan latihan industri) yang mengutamakan `hands-on', prestasi lepasan kolej komuniti boleh dibanggakan dengan hampir 60 peratus lepasannya mendapat pekerjaan sebaik saja tamat pengajian dan 90 peratus daripadanya bekerja di sektor swasta.

41. Nilai-nilai yang ada di dalam modal insan hendaklah hadir dengan elemen kerja pasukan, nilai caring meliputi aspek psikologi, sosial, moral, personal hubungan, motivasi dan sokongan, imej organisasi, kerjasama, kesetiaan, perkongsian, tolenrasi, kesediaan untuk belajar, pemikiran kritis, fikiran terbuka, keterlibatan dan role model.

42. Nilai modal insan mempunyai kesan yang amat besar terhadap perkembangan, kemajuan atau kemunduran sesuatu masyarakat, bangsa dan negara. Nilai modal insan berkembang selaras dengan perkembangan di sekeliling umpama ekonomi, pendidikan, pengetahuan, wawasan, teknologi yang mendasari kehidupan manusia. Sesungguhnya, nilai modal insan merupakan suatu aspek kebudayaan yang dinamik yang menyebabkan suatu masyarakat, bangsa dan negara itu sentiasa mengalami perubahan dan pemodenan yang dinamik lagi progresif.


Tuan Yang Dipertua,

43. Sektor pertanian telah memainkan peranan yang besar pada awal tahun 1920-an menerusi industri getah yang mengangkat nama Malaysia sebagai pengeluar getah asli utama dunia sehingga tahun 1980-an. Ekonomi negara selepas merdeka dimonopoli oleh aktiviti-aktiviti pertanian dan perlombongan sehinggakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada ketika itu menunjukkan sumbangan sektor pertanian dan perlombongan mencecah angka 46 peratus.

44. Inisiatif penubuhan institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan pemulihan tanah seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi pembangunan wilayah pula telah mempergiatkan lagi pembukaan tanah baru untuk tanaman industri di samping mendokong matlamat membasmi kemiskinan yang termaktub di dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

45. Sementara itu, penubuhan agensi-agensi khusus seperti FAMA (1965), Bank Pertanian Malaysia (BPM) (1969), MARDI (1969), Lembaga Padi dan Beras Negara (1971), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (1971), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (1970), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) (1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) (1973) dan beberapa agensi lain telah membantu dari segi kemudahan pemasaran, penyelidikan, kredit dan khidmat sokongan kepada kumpulan sasar dan mempergiatkan lagi pembangunan sektor pertanian pada ketika itu.

46. Tiga dasar telah digubal dalam usaha memastikan sektor pertanian dapat bertindak sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi negara di samping sector perkhidmatan dan pembuatan. Dasar-dasar tersebut adalah merangkumi Dasar Pertanian Negara Pertama (1984-1991) yang memberi penekanan untuk membangunkan sektor pertanian yang berorientasi eksport; Dasar Pertanian Negara Kedua (1992-1997) yang memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan persaingan; dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (1998-2010) untuk meningkatkan dayasaing sektor pertanian berikutan liberalisasi perdagangan antarabangsa.


47. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan keyakinan tinggi bahawa sektor pertanian dan asas tani ini mampu menjana bukan sahaja pendapatan petani-petani luar bandar malahan juga ekonomi negara. Kesungguhan beliau dalam memajukan sektor pertanian terbukti dalam pembentangan formula Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan yang telah memperuntukkan sejumlah wang yang amat besar kepada sektor itu.

48. Saya melihat transformasi sektor pertanian ke arah yang lebih dinamik dan berdaya saing dalam RMK-9 bertujuan untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi para petani dan negara selain bertujuan untuk mengurangkan pergantungan terhadap barangan import bahan makanan dalam jangka masa panjang yang mana pada masa ini imbangan import bahan makanan masih lagi melebihi kemampuan mengeksport.

49. Berdasarkan tumpuan yang serius daripada Perdana Menteri kita ini, saya amat berharap pihak institusi perbankan memberi kepercayaan terhadap mereka yang terbabit dalam sektor pertanian dengan memudahkan proses pinjaman sejajar dengan dasar dan penumpuan kerajaan terhadap enjin ketiga ini. Kita mahu bank-bank di negara kita melihat dari sudut berbeza dengan memberi keyakinan yang lebih tinggi dalam membantu para petani kita meningkatkan kualiti dan taraf mereka dari taraf petani tradisional kepada petani moden. Lihat sahaja petani di Thailand atau di Jepun, kebanyakan mereka telah mencapai petani moden dan jutawan.


Tuan Yang Dipertua,

50. Akhir sekali, saya ingin menyentuh soal kemiskinan. Kita tahu masalah tersebut banyak berpunca daripada cara pengagihan kekayaan yang tidak sempurna. Keadaan ini diburukkan lagi oleh sistem penyaluran sumber modal yang lebih memihak kepada golongan kaya di mana mereka lebih senang memperoleh pembiayaan atau pinjaman daripada institusi kewangan.

51. Dalam hal ini, golongan kurang berkemampuan terus terpinggir kerana mereka biasanya berhadapan dengan pelbagai halangan yang dikenakan oleh pihak bank. Menurut pakar-pakar dalam bidang pembangunan, kaedah pinjaman kecil merupakan satu cara terbaik untuk membasmi kemiskinan.

52. Di sini, saya ingin mengesyorkan peranan wakaf tunai dalam menyediakan kemudahan pinjaman kecil (mikro kredit) tanpa faedah kepada golongan miskin. Bagi mewujudkan satu kerangka wakaf yang berperanan dalam memberi pinjaman kecil tanpa faedah, asset utama wakaf tadi perlu wujud dalam bentuk tunai.

53. Ini bermakna dua pendekatan boleh diguna pakai iaitu pertama, menerusi pewujudan penjamin kecairan dan penjamin kerugian di mana ia diutarakan oleh Dr Muhammad Anas Zarqa dalam kertas pembentangan bertajuk Monetary Waqf For Micro Finance dalam satu symposium anjuran Harvard Law School, tahun lalu.

54. Berdasarkan landasan itu, zakat boleh dilihat sebagai penjamin kecairan dalam menyuntik dana kepada mikro kredit tersebut, manakala perkhidmatan takaful boleh bertindak sebagai penjamin kerugian. Di Malaysia, para pengendali takaful ada menawarkan produk bertujuan melindungi peminjam daripada gagal membayar balik pinjaman akibat kematian atau keilatan kekal yang dialaminya semasa tempoh pinjaman.

55. Kos untuk menyertai takaful tadi adalah sangat rendah dan ini boleh dimasukkan ke dalam jumlah pinjaman yang dibuat. Saya percaya dengan usaha untuk memajukan cadangan sedemikian akan memperlihatkan keupayaan wakaf tunai bertindak sebagai sumber pinjaman kecil bagi memajukan ekonomi masyarakat miskin adalah terletak di bahu setiap umat Islam yang mempunyai kuasa dan kemampuan.

Akhirnya, dengan penuh takzim, Tuan Yang Dipertua, saya mohon menyokong.

Wabillahi Taufik Wal-hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

No comments: