Friday, July 10, 2009

UCAPAN MENJUNJUNG KASIH 2

UCAPAN MENJUNJUNG KASIH
TITAH UCAPAN SBP YANG DI-PERTUAN AGONG




Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ke-12




Tema:

EVOLUSI KEPARLIMENAN -
TUNJANG PEMBANGUNAN NEGARA







Oleh:


Dato’ Dr Mohamad Shahrum Osman
Ahli Dewan Rakyat Kawasan Parlimen Lipis




Parlimen Malaysia


Tuan Yang Dipertua,

Terima kasih kerana memberi peluang saya berbahas bagi menyokong usul menjunjung kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Titah Ucapan Baginda menyentuh pelbagai perkara, merangkumi politik dan kepimpinan negara, keistimewaan Parlimen, 50 tahun fasa kedua kemerdekaan, generasi muda, Misi Nasional, modal insan, ekonomi, sektor perkhidmatan, sukan, sektor pertanian dan dasar luar negara.

Tuan Yang Dipertua,

1. Syukur ke hadrat Ilahi kerana negara kita, Malaysia terus menerus; selamat, aman dan makmur dan dilimpahi nikmat rezeki sama ada dari aspek pembangunan ekonomi, sosial, budaya malah kestabilan politik, keselamatan, keamanan, dan kemakmuran yang masih dapat dikekalkan oleh pemerintahan Barisan Nasional.

2. Saya yakin sistem berdemokrasi berperlembagaan yang ditunjangi sejak 51 tahun lalu terus subur. Jika kerajaan tidak menegakkan demokrasi, sudah tentu tak ada seorang pun pembangkang yang berada dalam dewan yang mulia ini.

3. Dalam konteks ‘Selamat’, saya melihat kerajaan begitu bersungguh-sungguh dalam mengurangkan indeks jenayah negara. Kerajaan menambah 60,000 anggota polis menjelang 2011, kerajaan membina 150 balai dan pangkalan rondaan bagi meningkatkan kehadiran polis dalam kawasan setempat.

4. Malah, usaha PDRM menyusun semula persempadanan Daerah Polis agar lebih sepadan antara sumber polis dan keperluan keselamatan setempat amat dialu-alukan. Rakyat perlu melihat betapa kemajuan dalam sektor keselamatan awam begitu pesat sekali di bawah kerajaan Barisan Nasional, umpamanya, gaji anggota polis dan tentera ditingkatkan sebanyak 9 hingga 42 peratus, peruntukan pembangunan kepada pasukan polis digandakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dan Suruhanjaya Di-Raja bagi Penambahbaikan Operasi dan Pengurusan Polis ditubuhkan.

5. Atas dasar itu, dalam konteks ‘Aman’, kestabilan politik dan ekonomi digapai negara pada masa ini membuktikan bangsa Malaysia tetap bersatu. Lihat sahaja pada hari ini, seramai 222 ahli Parlimen dari pelbagai bangsa yang mewakili parti masing-masing masih boleh duduk di bawah satu bumbung dalam Dewan Rakyat yang mulia ini.

6. Penerapan nilai-nilai ‘Aman’ selama ini telah menyaksikan kita semua boleh berbahas dan berucap mengikut lunas-lunas yang yang ditetapkan oleh peraturan dan tidak melampaui batas. Kerana itu, saya selaku wakil rakyat BN akan terus memikul tanggungjawab untuk memastikan negara terus segar merdeka, dengan penuh komitmen, telus, berintegriti dan sentiasa dekat di hati rakyat jelata. Saya parcaya rakan-rakan wakil rakyat BN saya pun begitu juga.

Tuan Yang Dipertua,

7. Seterusnya, kita tidak boleh lari dari memperkatakan soal ‘kemakmuran’. Biasanya, unjuran ekonomi kerap kali dijadikan kayu pengukur pencapaian kemajuan sebuah negara, pendapatan per kapita sebuah keluarga serta kestabilan geo ekonomi-politik. Bagaimanapun, kayu ukur kemakmuran yang mudah ialah makanan dan pemakanan. Di Malaysia, kita makan sekurang-kurangnya tiga, empat bahkan kadang kala lima kali sehari. Ini menunjukkan betapa makmurnya rakyat jelata. Ini termasuk warga asing yang secara sah atau tidak sah boleh menikmatinya dengan perut yang kenyang.

8. Faktor suasana ceria atau Feel Good Factor (dengan izin) sudah dirasai oleh setiap lapisan masyarakat di negara kita. Lihat sahaja pembangunan seimbang yang dicapai di mana pengurangan kadar kemiskinan tegar dari 1.2 peratus kepada 0.7 peratus jumlah penduduk dan pengurangan kadar kemiskinan keseluruhannya dari 5.7 peratus kepada 3.5 peratus. Malah, usaha merapatkan jurang pendapatan antara desa dan bandar dari 1:2.11 kepada 1:1.99 melepasi sasaran bagi tahun 2010. Saya juga melihat kerajaan turut berjaya membuka kira-kira 14 hospital baru, 22 klinik kesihatan baru dan 64 klinik desa baru serta telah membina 12,190 kilometer jalan-jalan kampung.

Tuan Yang Dipertua,

9. Saya ingin menyentuh soal modal insan. Untuk merealisasikan erti pembangunan modal insan ini, kita harus menyerlahkan pengisian modal insan dalam bentuk amalan. Banyak cara untuk kita berbakti dan membuat pengorbanan besar untuk bangsa, masyarakat dan negara. Umpamanya, pasukan keselamatan, mereka terpaksa mempertaruhkan nyawa bagi memastikan negara aman dan tenteram. Kakitangan sektor awam menggunakan pelbagai kemahiran untuk memastikan Negara terus maju. Tahniah kerana mendapat ‘Hadiah Besar’ daripada kerajaan minggu lalu. Manakala sektor swasta pula memacu pembangunan ekonomi negara dengan projek berdaya maju.

10. Biar apapun bentuk khidmat dan amalan kita, demi negara tercinta, peranan dan modus operandi pengisian pembangunan modal insan memerlukan rakyat yang berilmu dan berakhlak mulia dengan etika kerja cemerlang, gemilang dan terbilang. Inilah konsep modal insan yang selalu diperkatakan dalam konteks memperkasakan masyarakat Malaysia di bawah pembangunan modal insan yang lestari.

11. Modal insan dijana menerusi sistem pendidikan yang mantap. Ia tidak terhad kepada pengajian formal dan pengijazahan saja. Modal insan yang harus dikembangkan merangkumi pelbagai peringkat dan usia. Peringkat profesional dan pengurusan memerlukan pendidikan formal yang baik dan berkualiti di institusi pengajian tinggi (IPT) yang juga bermutu dan prestij. Golongan separa profesional dan pekerja am perlu dibangunkan dari segi kemahiran, sikap dan kesungguhan.

12. Atas faktor itu, sesebuah negara yang maju sebenarnya bukan hanya didukung oleh profesional yang berdaya saing dan mempunyai sikap proaktif, malah ditunjangi oleh pekerja separa profesional dan pekerja am yang berkualiti dan berjiwa besar. Mereka bangga melakukan apa saja untuk kemajuan diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Jika mereka berkhidmat sebagai petani, mereka berusaha untuk menjadi petani yang berdaya maju dan inovatif menggunakan pelbagai pengetahuan dan teknologi moden untuk mempertingkatkan produktiviti. Di manakah tahap petani-petani kita hari ini?

13. Jika mereka bekerja sebagai guru dan pensyarah, mereka berfungsi sebaiknya menjadi peneroka dan pengajar ilmu yang terbaik dan cemerlang. Kualiti rakyat yang tinggi ini hanya terjana menerusi amalan dan etika kerja yang baik, budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat. Pendidikan dalam konteks semasa memerlukan dinamisme yang lebih berdaya saing kerana saingan kita semakin canggih. Kita memerlukan bukan hanya sistem pendidikan yang kemuncaknya ialah proses pengijazahan, malah penghayatan ilmu dalam bentuk yang tersirat. Ilmu itu tersirat dalam perwatakan, pembicaraan dan keperibadian seseorang. Ia tersirat dan semakin mantap sepanjang hayat kerana proses pembelajaran tidak terhenti dalam majlis konvokesyen. Sebagai contoh, bagaimana hendak melakukan pemodenan pada petani-petani sedangkan sebahagian besar pegawai-pegawai petanian yang ada masih berfikiran lama.

14. Saya percaya, hal ini dapat diamalkan menerusi pembacaan yang lancar dan pelbagai, majlis ilmu yang sentiasa meriah dan penonjolan tokoh ilmu sebagai model ikutan masyarakat. Ketika membincangkan kepentingan dan ideal ilmu, bekas Presiden Universiti Chicago, Dr Robert Hutcin, ada menyebutkan mengenai tradisi ilmu dalam sesebuah masyarakat ialah meletakkan nilai ilmu pada martabat tertinggi.

15. Bagi masyarakat sedemikian, nilai ilmu mengatasi segala-galanya, termasuk selebriti hiburan, harta mahupun status. Keadaan sedemikian pernah wujud dalam tradisi ilmu Barat dan ketika keagungan empayar Islam. Soalnya, apakah kita berjaya mewujudkan persekitaran ilmu yang sedemikian segar dan dinamik? Apakah percambahan IPT ketika ini mendokong pemantapan budaya ilmu yang memperteguhkan lagi daya saing dan daya fikir? Apakah tidak mustahil untuk kita menjadi pusat keilmuan di rantau ini dengan adanya universiti awam dan swasta yang mantap dan sekolah berkualiti?

Tuan Yang Di Pertua,

16. Tamadun baru yang berlaku dalam dunia masa ini disebabkan pengaruh pengetahuan baru dalam pelbagai bidang. Pengetahuan merupakan kuasa perubahan sosial dan ekonomi. Dengan berpandukan kepada teknologi maklumat, teknologi digital, teknologi media massa yang serba canggih dan hebat, pengetahuan sudah dapat disebarkan dengan lebih meluas dan berkesan. Di jari-jari kita sekarang sudah boleh mendapat maklumat dengan pantas dan terkini. Telefon bimbit yang dibawa oleh kita sudah boleh memainkan peranan maklumat yang penuh dengan pengetahuan. Era telefon bimbit sudah boleh menyalurkan maklumat internet, pesanan ringkas (SMS), MMS, perbualan video serta menonton siaran televisyen dengan teknologi 3G. Tidak ketingggalan blog-blog di internet yang tumbuh merata seperti cendawan tumbuh. Terpulang kepada kita sama ada teknologi ini memberi menfaat kapada kita atau sebaliknya. Pengawalan yang keterlaluan oleh pihak kerajaan boleh menghalang minda rakyat.

17. Pengetahuan dan pemikiran saintifik sudah merubah perspektif baru tentang pelbagai perkara yang dapat mengangkat tamadun baru kehidupan manusia. Pengetahuan tidak lagi terbatas di sekolah atau di institusi pengajian tinggi semata-mata, malahan ia telah mengambil ruang perubahan yang terbuka dan dapat disebarkan dengan lebih dinamik. Usaha bagi membentuk masyarakat pekerja dan golongan mahasiswa yang berilmu memerlukan perubahan paradigma pendidikan, latihan dan pengurusan sumber manusia.

18. Pembentukan masyarakat berpengetahuan harus menekankan proses pembelajaran yang berterusan dan menjadikan slogan ‘learning organization’ sebagai satu pendekatan membentuk masyarakat berpengetahuan. Inilah yang dicanang-canangkan, supaya setiap warga Malaysia sentiasa ‘up to date’. Tidak kiralah peringkat usia manapun, seseorang pemimpin perlu mengemaskini mindanya bagi memacu hala tuju negara, seseorang Naib Canselor perlu mempunyai idea dan visinya supaya universitinya berada di dalam ranking yang terbaik, manakala golongan mahasiswa harus mempunyai minda yang pesat supaya kelak nanti, negara mempunyai golongan pelapis yang memiliki minda kelas pertama.

19. Kita harus mengeksport ilmu pendidikan ala-Malaysia ke luar negara. Saya mengesyorkan kita menggunakan keupayaan institut pengajian tinggi awam mengembangkan sayap mereka ke luar negara terutama ke negara-negara kedua dan ketiga seperti Indonesia, Kemboja, Vietnam, Brunei, negara-negara di Afrika dan negara-negara di Timur Tengah. Saya melihat sudah ada institut pengajian tinggi swasta di negara ini telah mengembangkan sayap mereka di luar negara seperti Kolej Universiti Lim Kok Wing. Mengapa tidak IPTA kita yang mendahulukannya? Mengapa masih kita takut-takut? Universiti Nottingham dan Monash, antaranya, sudah pun membuka cawangan mereka di sini. Mengapa UKM atau UM sendiri tidak sedemikian mengembang sayap cawangan ke negara luar? Penerokaan angkasa lepas baru-baru ini seharusnya dapat menyuntik satu dimensi baru terhadap mata pelajaran ini dan kajian-kajian di Universiti.

20. Sebagai contoh, betapa ramainya pelajar Indonesia daripada pelusuk pulau datang mencari ilmu di UKM di peringkat sarjana. Mengapa tidak Naib Canselor UKM melihat betapa untung dan manfaat sekiranya dibuka cawangan UTM di Pulau Sulawesi atau Pulau Sumatera sendiri. Inilah yang kita mahu – melangkah jauh ke depan.

21. Kita harus mengetahui bahawa modal insan berbeza sifatnya, yakni semakin banyak digunakan, semakin baik dan semakin banyaklah jadinya. Modal insan bersifat `endogenou'. Ia tidak terhakis dan ia adalah milik semua. Perkongsian ilmu tidak seperti perkongsian sumber asli yang menghadkan penggunaan pemilik asal. Profesor Lucas, penerima anugerah Nobel Ekonomi 1995 menyifatkan modal insan sebagai satu elemen penting bagi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Model pertumbuhan ekonomi terkini meletakkan modal insan sebagai faktor pengaruh yang perlu diutamakan oleh pembuat dasar. Modal insan boleh digilap dan dipupuk. Ia tiada had. Agenda Misi Nasional yang menampilkan modal insan memberi ruang untuk semua memupuk dan menggilap tahap pengetahuan masing-masing. Bila agaknya rakyat kita boleh memperolehi anugerah Nobel?

22. Penjenamaan semula kolej komuniti dan peningkatan enrolmen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada 200,000 pelajar menjelang 2010 sebagai contohnya, adalah langkah besar Kementerian Pengajian Tinggi bagi membolehkan seramai mungkin modal insan digilap. Sejak ia mula diperkenalkan pada 2000, kolej komuniti di seluruh negara sudah melatih 41,307 orang pelajar berkemahiran yang sebahagian besarnya lepasan SPM. Dengan konsep pendidikan bersepadu dwi-sistem (kuliah dan latihan industri) yang mengutamakan `hands-on', prestasi lepasan kolej komuniti boleh dibanggakan dengan hampir 60 peratus lepasannya mendapat pekerjaan sebaik saja tamat pengajian dan 90 peratus daripadanya bekerja di sektor swasta. Saya memohon agar Kementerian Pengajian Tinggi dapat menubuhkan Kolej Komuniti di kawasan parlimen Lipis secepat mungkin seperti yang dijanjikan. Ini untuk memberi peluang dan ruang kepada masyarakat Lipis dan kawasan sekitarnya menikmati pembelajaran peringkat tinggi di tempat sendiri. Kini tidak ada satu pun IPT di Lipis.

23. Itu di peringkat pendidikan tinggi. Pada peringkat pendidikan menengah pula, melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), berdasarkan laporan kad kemajuan Kementerian Pendidikan, banyak pembangunan serta perkembangan dari segi fizikal berupaya dilaksanakan bermula tahun 2005 hingga 2008. Dalam Kajian Separuh Penggal RMK9 perlu atas kesinambungan khusus membantu penduduk di kawasan luar Bandar, saya berharap peruntukan bagi projek-projek mega yang tidak perlu dilaksanakan perlulah disalurkan ke kawasan-kawasan luar bandar yang masih daif.

24. Dalam titah Di Raja, baginda meminta KPM lebih menitik beratkan soal latihan serta pembelajaran murid bermula dari awal, iaitu pra sekolah lagi. Kita tidak mahu pelajar-pelajar kita ketinggalan dan tidak boleh bersaing di masa hadapan.

25. Menyentuh PPSMI pula, kita perlu memberi peluang kepada KPM untuk membuat penilian yang lebih teliti secara menyeluruh pada penghung tahun 2008 ini. Saya yakin kita akan mendapat hasil produk PPSMI (Tahun 6) sekolah rendah yang akan menduduki peperiksaan UPSR hujung tahun ini.

26. Berkenaan bantuan untuk sekolah dan pelajar luar bandar, saya memohon KPM menjelaskan berapakah peruntukan yang telah dibelanjakan dari tahun 2005 hingga 2008 dan mengapakan projek-projek kementerian tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual. Begitu juga apakah bentuk pemantauan yang dibuat terhadap kantin-kantin sekolah sepuya kantan serntiasa bersih agar kejadian keracunan tidak berlaku lagi.

Tuan Yang Di Pertua

27. Nilai-nilai yang ada di dalam modal insan hendaklah hadir dengan elemen kerja pasukan, nilai ‘caring’ meliputi aspek psikologi, sosial, moral, personal hubungan, motivasi dan sokongan, imej organisasi, kerjasama, kesetiaan, perkongsian, tolenrasi, kesediaan untuk belajar, pemikiran kritis, fikiran terbuka, keterlibatan dan role model.

28. Nilai modal insan mempunyai kesan yang amat besar terhadap perkembangan, kemajuan atau kemunduran sesuatu masyarakat, bangsa dan negara. Nilai modal insan berkembang selaras dengan perkembangan di sekeliling umpama ekonomi, pendidikan, pengetahuan, wawasan, teknologi yang mendasari kehidupan manusia. Sesungguhnya, nilai modal insan merupakan suatu aspek kebudayaan yang dinamik yang menyebabkan suatu masyarakat, bangsa dan negara itu sentiasa mengalami perubahan dan pemodenan yang dinamik lagi progresif.

29. Untuk memastikan semua ini tercapai, para pelajar kita harus diajar dengan ilmu keupayaan memilih, memilih antara yang baik dengan yang tidak baik, antara yang baik dengan yang terbaik kerana kini semua maklumat dapat dicapai oleh setiap individu kesan daripada kepesatan ICT. Dan penipuan sms kini semakin menjadi-jadi. Saya mohon penjelasan daripada Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi, sejauh mana tindakan diambil untuk membenteras perkara ini.

Tuan Yang Di Pertua,

30. Memandangkan ekonomi negara terus pesat apatah lagi pada tahun 2008, saya percaya pertumbuhan KDNK sebenar dijangka berkembang kepada lebih 6.3 peratus. Perkembangan arus ekonomi itu dilihat berdasarkan pengembangan berterusan aktiviti sektor swasta serta dasar dan strategi kerajaan yang pragmatik dalam mempelbagaikan sumber pertumbuhan baru. Sehubungan itu, syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan iaitu (GLC) perlu memainkan peranan yang amat besar dalam menjayakan agenda Misi Nasional.

31. Pernah satu ketika dulu, kerajaan ada menyebut empat kriteria utama di ambil kira dalam melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) bagi menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kriteria itu ialah mempunyai integriti, rajin, cerdik dan memiliki sifat bermuhasabah serta sanggup menerima teguran dan pandangan orang lain, di samping mengelak sifat sombong. Jadi peneraju GLC pada masa ini harus faham akan matlamat asal mewujudkan GLC demi kepentingan negara. Kefahaman dan penghayatan ini penting kerana peranan GLC adalah sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi. GLC juga bertanggungjawab memberikan perkhidmatan strategik seperti pengangkutan, air, telekomunikasi, perbankan, penerbangan dan makanan.

32. Hari ini pun, sekurang-kurangnya 50 GLC yang tersenarai di Bursa Malaysia mencatatkan lebih 36 peratus modal pasaran bursa itu. Secara terkumpul GLC adalah majikan terbesar selepas kerajaan, membabitkan antara tujuh hingga lapan peratus tenaga kerja negara. Lebih penting lagi GLC sebenarnya mencerminkan keadaan 'kesihatan' ekonomi negara. GLC juga ada kaitannya dengan kedudukan ekonomi Bumiputera serta pegangan ekuiti mereka secara keseluruhan. GLC menjadi lambang kejayaan pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara.

33. Kita mahu GLC menjadi sebuah syarikat raksasa atau multinational companies (MNC) yang mampu mengubah atur cara dan struktur ekonomi dunia. Cuba kita lihat daripada 100 'ekonomi' yang terbesar di dunia, hanya 47 adalah negara bangsa (nation states), selebihnya adalah MNC. Sebuah MNC, seperti Exxon-Mobil dari segi jualan melebihi Keluaran Negara Kasar (GDP) semua negara melainkan 20 negara di dunia. Dalam konteks ini, GLC di Malaysia sepatutnya boleh menjadi MNC. Malah membina empayar niaga yang nilai dan hala tujunya selari dengan tuntutan Islam dan keperluan negara tentulah membawa banyak makna pada negara ini.

34. Lebih banyak GLC harus mengikut jejak Petronas yang menjadi salah sebuah syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500. Malah Johor Corporation juga boleh menjadi contoh GLC terbaik yang mana mempunyai 240 syarikat yang beroperasi di bawahnya dengan tenaga kerja melebihi 50,000 orang dan nilai harta melebihi RM7.9 bilion serta pendapatan tahunan kumpulan melebihi RM2.5 bilion. Justeru itu, GLC harus diteliti dengan kanta dan semangat keterbukaan yang baru. GLC juga harus bersedia mengubah cara dan pendekatannya. Kita tahu GLC mempunyai amanah yang besar dalam menjayakan aspirasi bangsa dan negara khususnya memastikan RMK-9 menjadi kenyataan. Amanah itu tidak boleh diabaikan. GLC perlu terus berani meneroka dan bersaing merebut peluang-peluang perniagaan di persada antara bangsa. GLC ini tidak hanya gagah di Malaysia sebagai “jaguh kampong” tetapi harus juga gagah dipersada antarabangsa. Peluang pendedahan ini perlu kerajaan beri perhatian, agar kepakaran dan tenaga kerja tempatan ini dapat diketengahkan.

35. Malah, saya berharap juga GLC ini dipastikan mengambil siswazah yang menganggur. Walaupun di bawah Khazanah Nasional Berhad telah menempatkan 1,132 siswazah yang menganggur di sembilan GLC milik perbadanan itu pada tahun sebelum ini, tetapi ia terlalu rendah. Sedangkan kita mempunyai lebih 30,000 graduan yang menganggur. Tak mungkin kesemua graduan yang menganggur tidak sesuai di dalam bidang yang diceburi oleh GLC? GLC ada cawangan di merata dunia, tak adakah siswazah ini yang layak mengisi jawatan yang ada?






Tuan Yang Dipertua,


36. Saya ingin menyentuh soal Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kita semua tahu kerajaan negeri DAP, Pulau Pinang mengatakan akan mengenepikan DEB dan mengamalkan sistem tender terbuka, kerajaan PKR Selangor akan mengkaji semula perlaksanaan DEB dengan mengambil kira kaum-kaum lain yang kedudukan dan tahap ekonominya sama dengan Bumiputera. Kerajaan Perak tidak akan memberi penekanan terhadap pengkhususan DEB kepada masyarakat Melayu sahaja.

37. Adakah selama ini pun DEB benar-benar memberi manfaat kepada kaum Melayu sahaja. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh EPU pada tahun 2006, pemilikan ekuiti orang Melayu ialah 18.9 peratus, bukan Melayu (40.6 peratus) dan orang asing (40.5 peratus); pemilikan syarikat – orang Melayu (20.3 peratus), bukan Melayu (75.7 peratus) dan orang asing (4 peratus) dan mereka yang memegang jawatan CEO – orang Melayu (20 peratus), bukan Melayu (70.4 peratus) dan orang asing (9.6 peratus).

38. Sekarang ini siapa yang lebih daif atau kurang mendapat tempat atau seolah-olah dipinggirkan di tanah sendiri, kalau bukannya masih golongan Bumiputera atau orang Melayu. Sebab itu, kita masih memerlukan semangat DEB sebagai lonjakan deras kedua dalam memastikan orang Melayu akan terus maju dan maju tanpa menidakkan hak untuk maju kaum-kaun lain di Malaysia. Jika bukan kerana DEB, mungkin ada di antara Yang Berhormat sekarang berada merempat dan mungkin menjadi pelarian.





Tuan Yang Dipertua,

39. Sektor pertanian telah memainkan peranan yang besar pada awal tahun 1920-an menerusi industri getah yang mengangkat nama Malaysia sebagai pengeluar getah asli utama dunia sehingga tahun 1980-an. Ekonomi negara selepas merdeka dimonopoli oleh aktiviti-aktiviti pertanian dan perlombongan sehinggakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada ketika itu menunjukkan sumbangan sektor pertanian dan perlombongan mencecah angka 46 peratus.

40. Inisiatif penubuhan institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan pemulihan tanah seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi pembangunan wilayah pula telah mempergiatkan lagi pembukaan tanah baru untuk tanaman industri di samping mendokong matlamat membasmi kemiskinan.

41. Sementara itu, penubuhan agensi-agensi khusus seperti FAMA (1965), Bank Pertanian Malaysia (BPM) (1969), MARDI (1969), Lembaga Padi dan Beras Negara (1971), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (1971), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (1970), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) (1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) (1973) dan beberapa agensi lain telah membantu dari segi kemudahan pemasaran, penyelidikan, kredit dan khidmat sokongan kepada kumpulan sasar dan mempergiatkan lagi pembangunan sektor pertanian pada ketika itu.

42. Tiga dasar telah digubal dalam usaha memastikan sektor pertanian dapat bertindak sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi negara di samping sektor perkhidmatan dan pembuatan. Dasar-dasar tersebut adalah merangkumi Dasar Pertanian Negara Pertama (1984-1991) yang memberi penekanan untuk membangunkan sektor pertanian yang berorientasi eksport; Dasar Pertanian Negara Kedua (1992-1997) yang memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan persaingan; dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (1998-2010) untuk meningkatkan dayasaing sektor pertanian berikutan liberalisasi perdagangan antarabangsa.

43. Perdana Menteri, meletakkan keyakinan tinggi bahawa sektor pertanian dan asas tani ini mampu menjana bukan sahaja pendapatan petani-petani luar bandar malahan juga ekonomi negara. Kesungguhan beliau dalam memajukan sektor pertanian terbukti dalam pembentangan formula Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan yang telah memperuntukkan sejumlah wang yang amat besar kepada sektor itu.

44. Saya melihat transformasi sektor pertanian ke arah yang lebih dinamik dan berdaya saing dalam RMK-9 bertujuan untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi para petani dan negara selain bertujuan untuk mengurangkan pergantungan terhadap barangan import bahan makanan dalam jangka masa panjang yang mana pada masa ini imbangan import bahan makanan masih lagi melebihi kemampuan mengeksport.

45. Berdasarkan tumpuan yang serius daripada Perdana Menteri kita ini, saya amat berharap pihak institusi perbankan memberi kepercayaan terhadap mereka yang terbabit dalam sektor pertanian dengan memudahkan proses pinjaman sejajar dengan dasar dan penumpuan kerajaan terhadap enjin ketiga ini. Kita mahu bank-bank di negara kita melihat dari sudut berbeza dengan memberi keyakinan yang lebih tinggi dalam membantu para petani kita meningkatkan kualiti dan taraf mereka dari taraf petani tradisional kepada petani moden. Lihat sahaja petani di Thailand atau di Jepun, kebanyakan mereka telah mencapai petani moden dan jutawan.




Tuan Yang Dipertua,

46. Saya juga ingin menyentuh soal kemiskinan. Kita tahu masalah tersebut banyak berpunca daripada cara pengagihan kekayaan yang tidak sempurna. Keadaan ini diburukkan lagi oleh sistem penyaluran sumber modal yang lebih memihak kepada golongan kaya di mana mereka lebih senang memperoleh pembiayaan atau pinjaman daripada institusi kewangan.

47. Dalam hal ini, golongan kurang berkemampuan terus terpinggir kerana mereka biasanya berhadapan dengan pelbagai halangan yang dikenakan oleh pihak bank. Menurut pakar-pakar dalam bidang pembangunan, kaedah pinjaman kecil merupakan satu cara terbaik untuk membasmi kemiskinan.

48. Di sini, saya ingin mengesyorkan peranan wakaf tunai dalam menyediakan kemudahan pinjaman kecil (mikro kredit) tanpa faedah kepada golongan miskin. Bagi mewujudkan satu kerangka wakaf yang berperanan dalam memberi pinjaman kecil tanpa faedah, aset utama wakaf tadi perlu wujud dalam bentuk tunai.

49. Ini bermakna dua pendekatan boleh diguna pakai iaitu pertama, menerusi pewujudan penjamin kecairan dan penjamin kerugian di mana ia diutarakan oleh Dr Muhammad Anas Zarqa dalam kertas pembentangan bertajuk ‘Monetary Waqf For Micro Finance’ dalam satu symposium anjuran Harvard Law School, tahun lalu.

50. Berdasarkan landasan itu, zakat boleh dilihat sebagai penjamin kecairan dalam menyuntik dana kepada mikro kredit tersebut, manakala perkhidmatan takaful boleh bertindak sebagai penjamin kerugian. Di Malaysia, para pengendali takaful ada menawarkan produk bertujuan melindungi peminjam daripada gagal membayar balik pinjaman akibat kematian atau keilatan kekal yang dialaminya semasa tempoh pinjaman.

51. Kos untuk menyertai takaful tadi adalah sangat rendah dan ini boleh dimasukkan ke dalam jumlah pinjaman yang dibuat. Saya percaya dengan usaha untuk memajukan cadangan sedemikian akan memperlihatkan keupayaan wakaf tunai bertindak sebagai sumber pinjaman kecil bagi memajukan ekonomi masyarakat miskin adalah terletak di bahu setiap umat Islam yang mempunyai kuasa dan kemampuan.

52. Akhirnya, saya merasa amat sedih kerana kebudayaan Melayu dan nilai kemelayuan mula terhakis atau dihakiskan secara halus sedikit demi sedikit oleh golongan tertentu. Oleh itu saya ingin mecadangkan kepada Kementerian Pertahanan agar menjadikan keris sebagai sebahagian daripada alat untuk pakaian istiadat bagi LLP terutamanya dalam Rejimen Askar Melayu Di Raja. Pemakian ini hendaklah dibuat dengan adab dan cara yang betul. Kita lihat masyarakat Arab Yamen sentiasa mengenakan pisau bengkok mereka apabila mereka berpakaian istiadat. Tiada siapa yang rasa takut dan tersinggung dengan pakaian itu.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon menyokong.

No comments: