Sunday, October 4, 2009

Penduduk Lipis lancar tabung gempa

KUALA LIPIS 4 Okt. _ Penderitaan rakyat Indonesia yang menjadi mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera baru-baru ini terus mendapat simpati masyarakat negara ini termasuk di kawasan pedalaman Pahang.

Bagi penduduk di sini, mereka tidak ketinggalan apabila turut menyumbang kepada tabung bantuan mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera yang diwujudkan semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Parlimen Lipis hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Ir. Mohd. Soffi Razak yang melancarkan tabung itu melahirkan rasa terharu atas sikap prihatin penduduk di sini yang menzahirkan nilai kemanusiaan yang tinggi terhadap penderitaan mangsa gempa bumi tersebut.

Beliau memberitahu, hasil kutipan itu akan diserahkan Tabung Nusantara Utusan-Maybank sebelum disalurkan secepat mungkin bagi meringankan beban mangsa gempa bumi berkenaan.

''Walaupun terdapat segelintir rakyat Indonesia yang ekstrem bertindak melancarkan provokasi terhadap negara kita baru-baru ini, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat rakyat kita untuk membantu mangsa gempa bumi tersebut," katanya.

Menurut Mohd. Soffi, penduduk daerah Lipis terutama di Benta turut bersimpati dengan penderitaan yang dialami penduduk Padang sambil berdoa keadaan di kawasan itu segera pulih.

No comments: