Sunday, October 4, 2009

Orang ramai diminta pulihara alam sekitar


KUALA LIPIS 2 Okt. - Orang ramai diminta memulihara alam sekitar dengan menanam lebih banyak pokok di kawasan kediaman untuk mewujudkan persekitaran yang sejahtera.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrom Osman berkata, semua pihak perlu berganding bahu dalam memulihara alam sekitar dengan tidak melakukan pencemaran yang boleh menjejaskan persekitaran.

Beliau berkata, kehijauan tumbuh-tumbuhan di sesebuah kawasan perumahan dan pusat rekreasi sebenarnya boleh dijadikan daya tarikan kepada pelawat untuk beriadah dan menikmati keindahan alam sekitar.

''Alam sekitar merupakan anugerah Tuhan dan menjadi milik semua. Justeru menjadi tanggungjawab semua untuk menjaga dan memuliharanya dengan menjaga kebersihan dan mengelak daripada melakukan kemusnahan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai program menanam pokok buah-buahan bersama sekumpulan belia dan penduduk kampung yang menyertai ekspedisi pacuan empat roda di Taman Rimba Kenong dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Shahrom berkata, ibu bapa juga perlu menyemai sikap cintakan alam sekitar di kalangan anak-anak supaya mereka sentiasa menghargai keindahan alam sekitar apabila dewasa kelak.

No comments: