Sunday, October 4, 2009

Pahang fokus program dakwah

KUALA LIPIS 25 Sept. – Kerajaan negeri Pahang akan terus memberi fokus kepada program dakwah Islam dengan menaik taraf masjid dan membina surau di kawasan perumahan bandar dan luar bandar.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrom Osman berkata, projek berkenaan diberi keutamaan dalam usaha membangunkan modal insan menerusi pendidikan agama.

‘‘Kita mengambil berat kebajikan penduduk dan program agama di kawasan bandar dan luar bandar. Kerajaan akan terus memastikan tidak ada satu kelompok masyarakat di negeri ini merasakan diri mereka terpinggir kerana tidak mendapat pembelaan daripada kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya kepada pemberita di Kampung Tanjong Jambu di sini baru-baru ini.

Mohamed Shahrom berkata, untuk mencapai hasrat tersebut, kerajaan akan menentukan bantuan atau peluang yang saksama diberikan kepada kelompok masyarakat yang benar-benar memerlukan khususnya orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Dalam bidang infrastruktur pula, jelas beliau, kerajaan negeri menerusi Pejabat Daerah dan Jawatankuasa Tindakan Daerah turut menyediakan peruntukan sewajarnya untuk membaikpulih masjid dan surau.

Katanya, kerajaan negeri telah menyediakan infrastruktur dan keperluan secukupnya, maka kini menjadi tanggungjawab penduduk untuk memanfaatkannya sesuai dengan tuntutan agama.

Pada majlis itu, Mohamed Shahrom turut meluluskan projek pembinaan sebuah balai raya baru untuk kegunaan penduduk Tanjong Batu dengan kos pembinaannya akan ditentukan tidak lama lagi.

No comments: