Thursday, April 30, 2009

RM1.2j laksana ternakan lembu daging

KUALA LIPIS 21 April - Yayasan Tekun Nasional (Tekun) memperuntukkan pinjaman RM1.2 juta untuk melaksanakan projek ternakan lembu daging secara komersial di Kampung Pasar Sasak, dekat sini tahun ini.
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrum Osman berkata, projek melibatkan seramai 40 penternak itu bermula selepas kerja-kerja pembinaan kandang dan lojistik siap sepenuhnya tidak lama lagi.
Bagi peringkat permulaan, katanya, sebanyak tiga kandang dibina dengan kapasiti setiap kandang sebanyak 60 ekor lembu.
''Pembangunan ekonomi berasaskan sektor ternakan bersepadu ini sejajar dengan projek Wilayah Pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER)," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi melaksanakan projek ternakan lembu itu, katanya, penternak Kampung Pasar Sasak menubuhkan jawatankuasa pengurusan dengan bantuan pengusaha berpengalaman, kelengkapan lojistik serta peranan agensi kerajaan.
Mohamed Shahrum memberitahu, pihaknya akan mendapatkan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) daripada aspek pengurusan ternakan dan kawalan penyakit serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pengusaha swasta sebagai rangkaian pasaran.

No comments: