Thursday, April 30, 2009

Gunung Kinabalu Ditawan

Idea program ini dicetuskan oleh Encik Suhaimin bin Yunan, Guru Besar SK Clifford dan mendapat sokongan padu daripada YDP PIBG Tuan Haji Hasbullah bin Mat. Idea ini telah diusulkan di dalam Mesyuarat PIBG dan mendapat sokongan semua ahli PIBG. Pelancaran program ini telah diadakan pada 28 Julai 2007 dan dirasmikan oleh YB Dato' Muhd Shahrom bin Osman, Ahli Parlimen Lipis di Lipis Centrepoint Hotel. Program ini akan dilaksanakan pada 10 hingga 13 April 2008. Seramai 10 orang murid dan 10 orang guru akan menyertai ekspedisi ini.

Mengapa Puncak Gunung Kinabalu?
i) Kinabalu merupakan puncak tertinggi di Malaysia, menawannya dapat membuktikan kegigihan dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan guru-guru dan murid-murid sekolah ini.
ii) Hanya yang bercita-cita tinggi dan punya jati diri yang tinggi sahaja mampu sampai ke puncaknya.
iii) Bukti kesepakatan dan kerja berkumpulan bagi menjayakan misi berbelanja besar ini.
iv) Kinabalu juga merupakan sumber ilmu kerana memiliki rupa bumi yang pelbagai, flora dan fauna yang dapat memberi pengalaman baru kepada peserta ekspedisi.

Dan akhirnya pada 12 April 2008...impian telah menjadi kenyataan.
Seramai 4 orang guru dan 6 orang murid telah berjaya menjejak kaki di puncak Gunung Kinabalu dan dengan bangga dan terharunya mengibarkan bendera SK Clifford. Peristiwa ini akan menjadi catatan sejarah bagi sekolah ini dan daerah Lipis. Semoga semangat dan keberanian peserta-peserta Ekspedisi ini akan diambil ikhtibar oleh semua warga SK Clifford bahawa kita mampu melakukan apa sahaja jika ada kemahuan. Kepada semua peserta ekspedisi ini, SK Clifford amat terhutang budi pada kalian semua. Nama kalian akan terpahat kukuh dalam lipatan sejarah SK Clifford. Semoga cogan kata "Clifford Number One" akan dapat kita jelmakan dalam semua bidang selepas ini.

No comments: