Thursday, April 30, 2009

Perunding dilantik kaji peranan Bernas

KUALA LUMPUR 7 Julai - Kerajaan telah melantik perunding untuk menjalankan kajian mengenai peranan dan keberkesanan Syarikat Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) yang turut terjejas ekoran krisis bekalan beras baru-baru ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah melantik perunding daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bagi menjalankan kajian itu.
Katanya, ia dijangka siap dalam tempoh tiga bulan sebelum kerajaan membuat keputusan mengenai hala tuju dan masa depan Bernas sebagai syarikat yang diamanahkan kerajaan untuk memastikan bekalan beras terjamin dan harganya berada pada paras yang berpatutan.
''Saya cukup sedar imej Bernas sejak akhir-akhir ini terjejas apabila negara menghadapi masalah bekalan dan kenaikan harga beras," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas tentang kes penipuan gred yang membabitkan Bernas baru-baru ini, Mustapa berkata, pihak penguat kuasa telah menjalankan tangkapan terhadap empat kes yang membabitkan Bernas.
Katanya, kerajaan memandang serius tentang penipuan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dalam pengisytiharan sistem penggredan beras sama ada beras tempatan atau import.
''Kita akan bertindak tegas dengan perkara ini termasuk memberi amaran dan beras mereka turut dirampas," katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) tentang usaha kerajaan untuk memastikan harga beras berada dalam keadaan stabil, katanya, kerajaan turut memandang serius mengenai perkara itu.
''Kerajaan bersikap terbuka untuk menubuh agensi-agensi baru termasuk Lembaga Padi dan Beras Negara bagi memastikan kestabilan beras benar-benar berada dalam kawalan kerajaan," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, ia akan memakan sedikit masa kerana perkara itu rumit dan banyak kajian yang perlu dilakukan termasuk mendapatkan maklum balas daripada kajian yang dilakukan MIER.

No comments: