Thursday, April 30, 2009

Beluncas juara Futsal Rakan Muda Lipis

KUALA LIPIS 14 April - Pasukan Beluncas muncul juara selepas menumpaskan pasukan Anak Bukit menerusi jaringan 3-2 pada perlawanan akhir Kejohanan Futsal Rakan Muda Lipis di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Orang Kaya Haji di sini semalam.
Beluncas menggondol hadiah wang tunai bernilai RM400 manakala Anak Bukit di tempat kedua memperoleh wang tunai RM200.
Pasukan Durian Runtuh pula menduduki tempat ketiga setelah mengalahkan pasukan Isbangsa dengan jaringan 2-1.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah dilakukan oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Mohamad Shahrum Osman.
Kejohanan Futsal Rakan Muda Lipis anjuran Penggerak Rakan Muda, Pejabat Belia dan Sukan Lipis disertai sebanyak 30 pasukan dari tiga dewan undangan negeri (DUN) iaitu Benta, Padang Tengku dan Jelai.
Penyelaras kejohanan yang juga penggerak Rakan Muda Lipis, Khairul Irwan Mohd. Khalid berkata, pembabitan pasukan dalam kejohanan berkenaan amat menggalakkan dan penganjur terpaksa mengehadkan penyertaan berikutan kekangan masa dan kekurangan tempat.
''Kita berpuas hati apabila ramai ahli Rakan Muda terbabit dengan kejohanan futsal ini. Kejohanan sama yang menawarkan hadiah yang menarik telah dirancang akhir tahun ini dan penganjur akan memilih pasukan terbaik untuk mewakili Lipis ke pertandingan di luar nanti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohamad Shahrum memuji usaha Pejabat Belia dan Sukan daerah menganjurkan kejohanan futsal bagi mencungkil bakat dan kemahiran belia untuk diketengahkan di peringkat negeri dan kebangsaan.
''Paling utama kejohanan ini dapat mengisi masa lapang belia di sini dan boleh menjalinkan hubungan erat sesama ahli Rakan Muda," katanya.
Selain itu, tambahnya, penganjur perlu menggalakkan penyertaan pasukan di kalangan belia bukan Melayu termasuk Orang Asli pada masa akan datang untuk memeriahkan lagi kejohanan

No comments: