Perasaan menyerah kalah tidak pernah terlintas - PM
Oleh: NOOR HASILAH ISMAIL
Perasaan menyerah kalah tidak pernah terlintas di fikiran kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) ekoran perubahan lanskap politik pada Pilihanraya Umum (PRU) 2008. Sebaliknya BN telah berubah, lebih matang dan menyesuaikan diri, malah makin bersemangat mencatat kejayaan lebih besar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
“Perkataan menyerah kalah tak pernah terlintas dalam fikiran kerana kami hanya memikirkan masa depan Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina dan Taklimat Akta Agensi Inovasi Malaysia anjuran Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di SRJK Cina di Sungai Way, Jumaat.
Perdana Menteri berkata, untuk menjamin masa depan yang lebih baik, rakyat Malaysia tidak harus menoleh ke belakang. “Untuk menjamin masa depan yang lebih baik, kita harus mula berfikir dengan cara yang berbeza, bak kata pujangga Cina, “sekiranya kita tidak mengubah haluan, kita akan berada di tempat yang kita tidak inginkan,” katanya.
Perdana Menteri seterusnya mengingatkan rakyat, terutama ibubapa dan golongan ahli perniagaan supaya tidak memperjudikan masa depan mereka, sebaliknya berganding bahu dengannya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang paling berjaya di rantau ini.
“Saya faham, ibubapa mahukan sistem pendidikan yang lebih baik di mana siswazah daripada universiti tempatan akan menjadi rebutan sebaik tamat pengajian. Saya adalah Perdana Menteri anda. Tetapi saya juga seorang ayah. Saya berkongsi impian dan harapan anda,” katanya.
Najib berkata kerajaan tidak mahu membazirkan golongan bijak pandai dan sedang berusaha untuk memastikan golongan ini kekal di tanahair dan berkhidmat kepada negara.
“Apa yang saya ingin capai adalah sesuatu yang besar dan saya ingin mengajak anda dalam kembara ini. Perjalanannya mungkin jauh, tetapi marilah kita bersama-sama mengharunginya. Ini bukanlah masa untuk membuat eksperimen dan memperjudikan masa depan anda. Saya pasti anda faham apa maksud saya. Golongan ahli perniagaan biasanya pragmatik dan tajam akal,” katanya.
Dalam ucapannya juga, beliau mengingatkan sektor IKS bersaing secara bijak dan strategik dalam perniagaan. “Untuk berjaya dalam lanskap ekonomi yang berubah, kita tidak boleh terus bersikap seperti “ business as usual . Malah, kita kita harus mengambil pendekatan, “business unusual .” Kita tidak boleh bertahan jika kita sekadar bersaing di segi harga. Cara paling bijak ialah dengan mengubah kebiasaan. Kita kena bersaing dengan cara tersendiri yang sukar ditandingi orang lain.
“Kita mesti melakukan pembaharuan, antaranya meningkatkan nilai produk dan perkhidmatan dengan menambahkan ciri tertentu atau mengurangkan ciri itu. Bunyinya mungkin pelik tetapi sekiranya dilakukan secara strategik, pengguna pasti bersedia membayar lebih,” katanya.
Najib mengambil contoh Apple i-Pad yang tidak mempunyai keyboard dan tetikus, lebih mahal daripada komputer riba tetapi orang sanggup membayar harga yang mahal kerana ia memudahkan pengguna.
“Pelanggan atau pengguna sanggup membayar lebih apabila ketidakselesaan dikurangkan. Contohnya menukar sistem kereta daripada manual kepada automatik. Sistem gear automatik mungkin mahal sedikit daripada manual tetapi pembeli kereta sangup membayar kerana ia memudahkan mereka.”
Najib turut menggesa golongan ahli perniagaan terutama IKS supaya menggunakan teknologi sebagai komponen penting dalam produk dan perkhidmatan mereka.
“Jika kita tidak memperbetulkan situasi ini, sementara dunia pantas bergerak ke depan, kita pula ketinggalan di belakang," katanya.
Najib berkata, mungkin ada di antara golongan IKS yang merasakan mereka terpaksa mengambil teknologi dari luar yang mengakibatkan kos yang mahal padahal teknologi yang ada di dalam negara kita, ada yang lebih baik.
Sehubungan itu, katanya penubuhan UNIK di bawah Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk mengatasi isu ini. UNIK akan mengenalpasti dan mendapatkan teknologi yang dihasilkan anak tempatan supaya dapat dimanfaatkan oleh negara. -11/02/11
No comments:
Post a Comment