Wednesday, February 2, 2011

Pembangunan Pahang Barat tiada titik noktahnya

Oleh YUSRI SAHAT dan HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

KIRA-KIRA sebulan lagi, tahun 2010 bakal melabuhkan tirainya.

Tahun 2010 sebenarnya memberi erti yang cukup besar bagi pentadbiran kerajaan negeri terutama dalam usaha pembasmian kemiskinan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Usaha kerajaan negeri menghapuskan kemiskinan demi memberi keselesaan penduduk luar bandar merupakan antara agenda utama dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tahun ini.

Sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri memberi tumpuan khusus terhadap projek luar bandar bagi menjana pembangunan modal insan, membuka peluang ekonomi baru dan mengukuhkan institusi sosial.

Dalam usaha membangunkan modal insan, kerajaan negeri 'melabur' jutaan ringgit dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran, pembangunan usahawan, pemantapan kepimpinan dan pemerkasaan belia.

Tidak dapat dinafikan bahawa sepanjang RMK-9, usaha melahirkan individu cemerlang, keluarga bahagia dan masyarakat beridentiti menerusi keseimbangan pendapatan dalam agihan kek ekonomi negeri berjaya direalisasikan sepenuhnya.

Dalam tempoh sama juga, kerajaan negeri terus memberi tumpuan terhadap pembangunan di kawasan Pahang Barat yang dikatakan agak ketinggalan berbanding Pahang Timur.

Antara kawasan yang menjadi fokus kerajaan negeri ialah di daerah Jerantut dan Kuala Lipis yang agak jauh dari pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kuantan.

Langkah murni kerajaan negeri untuk memajukan kawasan terbabit menjelang 2016 amat bermakna untuk meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan penduduknya.

Dari segi bilangan penduduk miskin tegar di kawasan terbabit, kerajaan negeri berjaya mengatasi masalah itu apabila bilangan mereka menurun kepada 30 keluarga pada tahun ini berbanding 126 keluarga lima tahun lalu.

Antara tumpuan pembangunan kerajaan negeri di kawasan Pahang Barat membabitkan perkampungan Melayu tradisional di persisiran Sungai Tembeling di Jerantut yang dimajukan berasaskan agro pelancongan.

Kawasan perkampungan berkenaan dianggap berpotensi dibangunkan kerana masih banyak tanah terbiar boleh dimajukan untuk projek pertanian komersial bagi meningkatkan pendapatan penduduk.

Lima perkampungan yang berpotensi dimajukan berasaskan agro pelancongan ialah Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantai, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling.

Kesemua kampung berkenaan hanya boleh dihubungi dengan bot menyusuri Sungai Tembeling sejauh 120 kilometer yang mengambil masa antara empat hingga lima jam perjalanan.

Namun, kesulitan itu mungkin berakhir dalam tempoh setahun dua lagi apabila kerajaan melaksanakan projek jalan raya bernilai RM120 juta sepanjang 90 kilometer bermula dari Kampung Tuit, Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling bermula Jun lalu.

Menyedari kawasan Hulu Tembeling amat berpotensi dimajukan dalam aspek pelancongan, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) mewujudkan pusat inap desa di Kampung Pagi dengan peruntukan sebanyak RM380,000 baru-baru ini.

Projek inap desa itu membabitkan pembinaan beberapa pusat penginapan bernilai RM180,000 di samping empat unit kedai PKNP bernilai RM200,000 yang dijangka siap sepenuhnya dua tahun lagi.

Kampung Pagi dipilih sebagai pusat inap desa berikutan lokasinya yang strategik berdekatan Taman Negara yang menjadi persinggahan bot pelancong.

Bagi memacu sektor pelancongan berasaskan akuakultur, Jabatan Perikanan mewujudkan pusat santuari ikan air tawar di Sungai Pengau, Jerantut berasaskan 'Sistem Tagal' sebagaimana dilaksanakan di Sabah.

Santuari yang bermula dari Jeram Panjang hingga ke Lubuk Katak, Sungai Tembeling itu merupakan antara zon pemuliharaan spesies air tawar untuk tujuan pelancongan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Bagi tujuan itu, Jabatan Perikanan baru-baru ini melepaskan sebanyak 200,000 benih ikan temoleh, kelah, jelawat, patin, lampam dan lawang di santuari Sungai Tembeling, Sungai Sepia dan Sungai Gembir di Hulu Tembeling.

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan juga dibahagikan kepada dua zon pembangunan iaitu berasaskan pertanian membabitkan Tembeling Tengah manakala Hulu Tembeling menjadi pusat pertumbuhan pelancongan berasaskan alam sekitar.

Taman Negara yang memang dikenali sebagai destinasi pelancongan antarabangsa akan terus berperanan sebagai pusat tarikan pelancong apabila kerajaan negeri akan menaik taraf beberapa kemudahan asas dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Sungai Tembeling yang bersejarah dan menjadi laluan perdagangan ahli perniagaan China dan Siam ke Melaka pada abad ke-13 akan dipantau dari aspek kebersihan dan keindahannya.

Sebagai langkah awal, beberapa unit premis, laluan pejalan kaki, pintu gerbang dan landskap di hadapan tebingan Sungai Tembeling siap dibina dengan kos bernilai RM200,000 di bawah projek Majlis Daerah Jerantut.

Bagi zon Tembeling Tengah pula, beberapa kawasan seperti Labu, Merting, Gol dan Pasir Sia dikenal pasti berpotensi dimajukan untuk projek pertanian.

Dalam pada itu, kerajaan negeri dijangka memajukan semula pusat pelancongan Jeram Perahu di Hulu Tembeling yang suatu ketika memang terkenal di kalangan pelancong tempatan sekitar 1990-an.

Menyedari bahawa segala usaha itu tidak akan mampu dilaksanakan tanpa bantuan modal insan, kerajaan negeri mengambil inisiatif membina Advances Technology College (ADTEC) dan Kolej Komuniti yang dijadual beroperasi tahun depan.

Kedua-dua kolej itu menawarkan kursus khas kepada golongan belia dari Pahang Barat untuk mengikuti pengajian teknikal dan pengurusan sejajar dengan keperluan dalam sektor pertanian dan pelancongan di kawasan terbabit.

Demikianlah antara usaha gigih kerajaan negeri di bawah teraju Menteri Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob dalam membangunkan kawasan Pahang Barat supaya tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan.

'Kehilangan'' dua agensi pembangunan, Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) yang dimansuhkan pada lewat 1990-an tidak mematahkan semangat kerajaan negeri untuk terus membangunkan kawasan pedalaman Pahang yang mempunyai prospek ekonomi yang tinggi.

No comments: