Friday, June 12, 2009

Program Penyampaian Pembiayaan Permulaan Pinjaman PTPN





PTPTN: RM35.5 juta disediakan


KUALA LIPIS 12 Jun - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan wang pendahuluan sebanyak RM35.5 juta kepada 23,178 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak mendapat pinjaman.
Pengerusinya, Datuk Dr. Mohamed Shahrom Osman berkata, pelajar lepasan SPM yang menerima tawaran belajar di institut pengajian tinggi (IPT) dan layak mendapat wang pendahuluan itu boleh mendapatkan bayaran tersebut mulai 16 Jun ini.
''Pelajar-pelajar boleh membuat semakan dan mendapatkan bayaran tunai menerusi semua cawangan Bank CIMB di seluruh negara.
''Gunakan wang pendahuluan ini sebaik mungkin untuk tujuan pembelajaran dan sara hidup semasa tinggal berjauhan dengan keluarga di kampus," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Penyerahan Wang Pendahuluan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di kawasan Parlimen Lipis, di sini kelmarin.
Menurut Mohamed Shahrom, hasil kajiannya sebelum ini mendapati segelintir pelajar sering menyalahgunakan wang pendahuluan tersebut termasuk pinjaman keseluruhan PTPTN.
''Selain motosikal, terdapat pelajar membeli telefon bimbit dan peralatan komunikasi yang canggih sehingga mencecah ribuan ringgit.
''Bukan tidak boleh beli, belilah peralatan keperluan yang penting untuk pengajian dan selebihnya wajar menabung persediaan waktu kecemasan," ujarnya.

No comments: