Thursday, April 30, 2009

Pastikan projek kerajaan lancar

KUALA LIPIS 15 April - Pegawai kerajaan perlu memainkan peranan lebih berkesan dengan memberikan fokus dalam menjelaskan dasar-dasar kerajaan terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, bulan lalu.
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrom Osman berkata, pegawai awam perlu berdiri teguh di belakang kerajaan untuk melaksanakan pelbagai dasar terutama berkaitan pembangunan.
''Usaha kita selepas pilihan raya umum lalu iaitu meneruskan projek pembangunan yang telah dirancang supaya rakyat memperoleh keselesaan.
''Sehubungan itu, ketua-ketua jabatan perlu turun padang bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan pada masa sama dapat mengeratkan hubungan antara penduduk dengan agensi kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis 'Jalinan Kasih' anjuran Pejabat Daerah Lipis bagi meraikan persaraan dan pertukaran 17 pegawai pelbagai jabatan di sini semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamed dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk Zainal Abidin Mat.
Menurut beliau, pegawai kerajaan juga perlu menerima pandangan penduduk menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menambah baik sesuatu perancangan supaya memenuhi kehendak rakyat.
Kerjasama dua hala itu, menurutnya, akan memberi impak positif bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.
Mohamed Shahrom juga meminta pegawai kerajaan mengamalkan sikap mesra rakyat terutama ketika menyelesaikan masalah penduduk.
Setakat ini, beliau berpuas hati dengan pelaksanaan tugas ketua-ketua jabatan di semua peringkat di daerah Lipis.
Dalam pada itu, beliau berkata, pegawai kerajaan yang bertukar perlu menggunakan segala pengalamannya untuk berkhidmat di tempat lain.
''Pengalaman yang saudara timba di sini menjadi bekalan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dan sempurna di tempat lain," katanya.
Tambahnya, pegawai kerajaan yang bersara pula perlu menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk membantu membangunkan negara menerusi saluran lain seperti menyertai badan-badan bukan kerajaan (NGO).

No comments: