KAMI mempunyai 17 pelanggan tetap yang disenaraikan sebagai penghutang perniagaan kepada koperasi sekolah ini,”demikian ujar Pengerusi Koperasi, Encik Abdullah Yusoff yang juga merupakan Pengetua SMK Panglima Garang Abdul Samad, Benta, Pahang.
Imbangan duga 2005 menunjukkan koperasi sekolah ini menerima lebih RM42,000 daripada 17 penghutang perniagaannya. Selain pihak sekolah sendiri yang melanggan dengan koperasi ini, pihak asrama sekolah itu turut berlanggan dan mencatat sebanyak RM8393.60 urusniaga sepanjang tahun lalu.
Para penghutang perniagaan koperasi sekolah ini lebih gemar mendapatkan khidmat koperasi untuk mendapatkan sumber bekalan, tempahan cenderamata, alat sukan dan alat tulis. Ini termasuklah juga mendapatkan sumber wang pendahuluan untuk majlis-majlis tertentu, misalnya Pejabat Daerah Lipis dengan kos sebanyak RM7636 dan Parlimen Lipis dengan kos sebanyak RM402.20.
Sambutan yang diberi serta kepercayaan terhadap kebolehan yang ada pada koperasi sekolah ini amat membanggakan. Malah, kesanggupan guru-guru Anggota Lembaga Koperasi (ALK) mendapatkan sumber bekalan yang berkualiti pada kadar harga yang murah dari Kuala Lumpur menunjukkan keyakinan dan kebolehan ALKnya, memenuhi permintaan pelanggan-pelanggannya.Rancang Tubuh Pasar Mini
Kedai koperasi sekolah ini dicadang untuk dinaiktaraf menjadi pasar mini sesuai dengan keperluannya kini. Pelbagai item barangan terpaksa dimuatkan sementara di kedai koperasi yang kelihatan penuh sesak.
“Inilah tujuan kami berbincang dengan Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) Daerah Raub, Encik Aminudin Yahya baru-baru ini, menyediakan kertas kerja bagi memohon bantuan dana daripada JPK,” demikian ulas Setiausaha Encik Yusoff Husin.
Pengerusi, Encik Abdullah Yusoff berkata, beliau melihat potensi koperasi sekolah ini amat baik sekali. Untuk itu beliau lebih berminat sekiranya pihak JPK boleh menyalurkan dana untuk membina bangunan koperasi berasingan, dari bangunan sedia ada.
“Kedai koperasi yang ada sekarang ini merupakan bilik bengkel. Sekalipun kedudukannya amat strategik, namun ruangan itu hanya untuk sementara. Sampai ketikanya pihak sekolah akan ambil balik bilik itu untuk kegunaan pihak sekolah nanti,” luah Pengerusi lagi.
Jelasnya, pihak JPK mensyaratkan agar ALK menyediakan penyata akaun koperasi selama tiga tahun berturut-turut, iaitu dari tahun 2003 – 2005, demi memastikan koperasi ini layak diberi bantuan dana.
Menurut Pengerusi lagi, perancangan membina pasar mini koperasi dibuat sejak tahun 2003 lagi iaitu sebaik selepas susulan wakil Pelancar, saudara Muhammad Harun memberi cadangan agar kedai koperasi diperbesarkan. Berdasarkan prospek keuntungan yang dicatatkan oleh koperasi, ALK yakin penambahbaikan amat wajar dilakukan, serta membantu meningkatkan lagi pencapaian koperasi yang telah berusia lebih 15 tahun itu.
Nama Koperasi
:
Koperasi SMK Panglima Garang Abdul Samad Berhad Benta,Kuala Lipis,Pahang,Darul Makmur
Penubuhan
:
1991
Anggota
:
Kira-kira 530 orang
Kegiatan Utama
:
Perniagaan Kedai Koperasi
SMK Panglima Garang Abdul Samad
Asrama SMK Panglima Garang Abdul Samad
Pejabat Daerah Lipis
SMK Padang Tengku
SMK Benta
Jabatan Pelajaran Pahang
SK Tanjung Besar
Kelab Warga Kerja SMKPGAS
PIBG SMK Panglima Garang Abdul Samad
SMK Clifford Kuala Lipis
SMK Chung Hwa Kuala Lipis
Kuarters Guru Batu 13 Benta
PKG Benta (MSSZ)
SK Benta
Pejabat Pelajaran Daerah Lipis
Parlimen Lipis
Kelab Sukan SM Teknik Kuala Lipis Projek-Projek Semasa :
Kolam memancing
Khidmat rekreasi (berkenu)
Dobi
Kedai koperasi
Khidmat tempahan cenderamata, kemeja-T, langsir dan sebagainya
Khidmat pendahuluan wang untuk sebarang majlis
Bekalan keperluan sukan dan alat tulis
No comments:
Post a Comment