KUALA LIPIS 19 Mei - Seramai 738 penduduk yang terdiri daripada keluarga miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal dari sekitar daerah Lipis menerima bantuan dana sebanyak RM400 seorang.
Penduduk-penduduk dari Kampung Gua, Relong, Padang Tengku, Telang, Berchang dan Tanjong Jambu itu adalah antara penerima bantuan bagi projek pembasmian kemiskinan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
Rata-rata penduduk yang ditemui yakin pelbagai pembangunan ekonomi yang dicorakkan oleh kerajaan negeri dapat mengikis kemelut kemiskinan penduduk luar bandar menerusi peluang dalam sektor pertanian, pekerjaan dan keusahawanan.
Warga emas Kampung Relong, Siti Minah Amin, 90, berterima kasih dengan kerajaan kerana menyumbang bantuan wang untuk meringankan beban perbelanjaan harian khususnya bagi mereka yang kurang mampu.
''Syukurlah, boleh saya berbelanja membeli ubat dan keperluan lain. Maklumlah saya sudah tua dan kerap uzur," katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Gua di sini baru-baru ini.
Hadir bagi menyampaikan bantuan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamed, ADUN Benta, Datuk Soffi Tan Sri Razak dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrum Osman.
Penduduk Kampung Gua, Ngah Ya, 87, berkata, wang itu akan digunakan untuk membiayai kos perubatan dan selebihnya akan disimpan untuk waktu kecemasan.
''Ringanlah beban kami, maklumlah orang tua seperti saya kerana tidak mampu bekerja kuat. Wang ini cukup untuk berbelanja ala kadar," katanya.
Ngah berkata, kehadirannya ke majlis itu, bukan sahaja untuk menerima bantuan malah untuk bertemu dengan wakil rakyat dan rakan-rakan lama.
Seorang warga emas dari Kampung Seberang Jelai, Ahmad Daud, 82, berkata, majlis pertemuan dengan wakil rakyat dan penyampaian dana berkenaan membawa makna yang besar di kalangan warga emas dan penduduk lain.
''Kehadiran wakil rakyat ke kawasan kami memang tepat, mereka juga mengotakan sesuatu selepas pilihan raya lalu. Hari ini kita juga dapat menjalin hubungan mesra dengan pemimpin tempatan," katanya.
Warga OKU Taman Bakti, N. Kumani, 34, berkata, bantuan itu akan digunakan untuk membeli peralatan persekolahan anaknya.
''Saya tidak mampu bekerja kuat kerana kecacatan bahagian kaki dan tangan, sebaliknya hanya bergantung kepada pendapatan suami. Terima kasih kepada kerajaan dengan bantuan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment