POLITIK, parti politik dan berpolitik serta berparti politik memerlukan kecerdikan dan tahap profesionalisme berskala besar, memerlukan lebih ramai penyokong daripada penentang supaya mendapat lebih majoriti dalam pilihan raya.
Hati dan perasaan semua pihak yang bertanggungjawab kepada pemberian mandat perlu dijaga dan dibelai seperti menatang minyak yang penuh. Membuat musuh dengan mereka bermakna menempah kecelakaan.
Pakatan pembangkang boleh menyerang, memperlekeh, membuat tohmahan, memberi persepsi buruk, memfitnah atau menidakkan kejayaan Barisan Nasional (BN) yang terus menerima mandat membentuk kerajaan yang sah.
Tetapi memfitnah agensi kerajaan, termasuk dengan melemparkan dakwaan palsu terhadap Felda yang dikatakan bankrap adalah satu tatacara berpolitik yang sangat tidak bijak, amat tidak profesional dan tidak bermoral.
Tindakan itu bukan sahaja akan melukakan hati para pegawai Felda tetapi ia merupakan satu penghinaan kepada golongan peneroka dan institusi yang banyak membangunkan masyarakat Melayu. Hakikatnya, nasib para peneroka Felda kini jauh lebih baik dari semasa mereka belum menjadi peneroka.
Berpolitiklah secara yang sepatutnya, jangan kerana gilakan kuasa dan kerusi perdana menteri dan kerusi menteri, maka apa yang diharamkan oleh Islam yakni memfitnah pun sanggup dijadikan senjata dalam perlumbaan meraih mandat.
Rakyat bukannya bodoh. Persepsi majoriti rakyat tidak mungkin seragam dengan persepsi pembangkang atau apa yang diharap rakyat terhadap persepsi kerajaan. Mengecam kerajaan dan mengajak rakyat membenci kerajaan sepanjang masa adalah tindakan yang tidak bermoral.
Masa untuk berhujah dan menarik sokongan rakyat selaku pemberi mandat adalah semasa pilihan raya. Selepas pilihan raya dan rakyat telah memilih parti untuk diberi mandat, maka keputusan rakyat mesti diterima dan dihormati.
Kalau masih dipertikaikan bermakna keputusan rakyatlah yang dipertikaikan, bukannya kerajaan yang telah dilanjutkan pemberian mandat, yakni amanah dan tanggungjawab untuk menjadi kerajaan.
Sementara menunggu tibanya pilihan raya akan datang, ia patut diisi dengan muhasabah dan kaji selidik kenapa pakatan pembangkang masih ditolak oleh rakyat dan kerajaan yang ada masih terus diberi mandat.
Baiki segala kelemahan supaya pada pilihan raya akan datang, rakyat akan melihat pembangkang ‘lebih baik’ dan ‘lebih berkemampuan’ untuk diberi mandat membentuk kerajaan bagi menggantikan kerajaan yang sedia ada, barulah nampak bestari dan profesional dalam berpolitik.
Kalau asyik mencerca kerajaan sebagai penerima mandat rakyat, lambat laun akan timbul rasa meluat di kalangan rakyat. Bila rakyat meluat, maka harapan untuk diberi mandat membentuk kerajaan akan tersekat.
Rakyat akan membuat penilaian tentang kualiti kerajaan memerintah. Keupayaan terus bertahan dalam keadaan sentiasa dikecam, diburukkan, diperlekeh, ditohmah, difitnah, diganggu dengan demonstrasi dan sebagainya tetapi masih mampu bertahan akan dilihat ada sesuatu yang luar biasa milik pimpinan kerajaan yang ada sekarang.
Sekali gus rakyat akan bertanya kepada diri sendiri iaitu dalam segelintir mereka mempertikaikan jasa dan bakti kerajaan yang memerintah lebih 50 tahun, apa pula jasa, bakti dan sumbangan pembangkang kepada negara selama tempoh yang sama, selain daripada mengisi masa setiap saat dengan memburukkan kerajaan.
Hakikat dan natijahnya menjadi kerajaan tidak semudah menjadi pembangkang. Rakyat sedang membuat penilaian apakah negeri-negeri yang diperintah pembangkang lebih baik daripada negeri-negeri yang diperintah oleh BN.
Kalau kerajaan pembangkang di negeri-negeri yang diperintah gagal dilebih-baikkan daripada negeri-negeri yang diperintah oleh BN, maka hasrat pakatan pembangkang untuk memerintah Malaysia tidak ubah seperti angan-angan katak puru.
Kononnya katak puru berkata, ‘badan berkerutu akan bertukar menjadi licin selepas bunyi guruh.’ Tetapi entah sudah berapa juta kali guruh berdentum, katak puru tetap kekal dalam keadaan asalnya, mimpi untuk menjadi licin lebih bersifat mimpi yang tidak mungkin menjadi realiti.
Dalam berpolitik, kena elakkan daripada berangan-angan macam katak puru atau sang pungguk yang mabuk air sejuk pada puteri bulan, sebaliknya orang politik kena pastikan diri sentiasa berada dalam realiti untuk mengelak daripada ‘perasan’ dijulang dan disayangi, walhal dibenci kerana sikap sendiri.
No comments:
Post a Comment