Sunday, July 4, 2010

2,000 peminjam PTPTN cemerlang

2,000 peminjam PTPTN cemerlang

Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my


KUANTAN 4 Julai - Kira-kira 2,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) layak menukar status pinjaman mereka kepada biasiswa kerana lulus dengan kepujian kelas pertama.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berdasarkan maklumat daripada PTPTN, pertukaran status terhadap pelajar terbabit melibatkan peruntukan sebanyak RM73 juta.

''Bagaimanapun, setakat 24 Jun lalu, PTPTN hanya mendapat statistik daripada 18 IPT awam dan swasta yang melibatkan 1,200 pelajar dengan peruntukan kira-kira RM26 juta.

''Oleh itu, pihak IPT harus segera mengemukakan statistik pelajar yang layak menukarkan pinjaman mereka kepada biasiswa bagi membantu PTPTN membuat persediaan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan minggu induksi siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) 2010 di Gambang, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin.

Dalam pembentangan bajet 2010, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan supaya pinjaman PTPTN ditukar kepada biasiswa kepada pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama atau setaraf mulai tahun ini.

Menurut Mohamed Khaled, PTPTN mula melaksanakan dasar tersebut dengan menukarkan pinjaman kepada biasiswa mulai 1 Julai lalu.

''Justeru, pelajar yang menamatkan pengajian pada 1 Januari lalu dan memperoleh kepujian kelas pertama serta memenuhi beberapa syarat seperti mengikuti pengajian sepenuh masa disaran mempertimbangkan pertukaran tersebut," jelasnya.

No comments: