Friday, July 10, 2009

UCAPAN KAJIAN SEPARUH PENGGAL

UCAPAN KAJIAN SEPARUH PENGGAL
RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN




Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Parlimen Ke-12




Tema:

MEMBERI FOKUS BARU
KEPADA TERAS MISI NASIONAL







Oleh:


Dato’ Dr Mohamad Shahrum Osman
Ahli Dewan Rakyat Kawasan Parlimen Lipis




Parlimen Malaysia




Tuan yang di pertua.


Saya berterima kasih kerana telah diberikan peluang untuk membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (KSP RMK9) yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Manteri pada hari Khamis lalu.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana negara kita, Malaysia terus menerus; selamat, aman dan makmur dan dilimpahi nikmat rezeki sama ada dari aspek pembangunan ekonomi, sosial, budaya malah kestabilan politik, keselamatan, keamanan, dan kemakmuran yang masih dapat dikekalkan oleh pemerintahan Barisan Nasional dan kita terus yakin dan mara ke hadapan untuk melaksanakan tahap kedua RMK9.

Dalam perbahasan ini saya akan memberi fokus kepada lima teras Utama Misi Nasional yang menjadi rencana RMK9 secara menyeluruh.
Tuan Yang Dipertua,




1. Dalam konteks ‘selamat’, saya melihat kerajaan begitu bersungguh-sungguh dalam mengurangkan indeks jenayah negara. Kerajaan menambah 60,000 anggota polis menjelang 2011, kerajaan membina 150 balai dan pangkalan rondaan bagi meningkatkan kehadiran polis dalam kawasan setempat.

2. Malah, usaha PDRM menyusun semula persempadanan Daerah Polis agar lebih sepadan antara sumber polis dan keperluan keselamatan setempat serta peruntukan pembangunan kepada pasukan polis digandakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan amat dialu-alukan.

3. Apa yang saya harapkan ialah, dalam usaha meningkatkan kuantiti anggota polis ini, aspek kualiti anggota yang dipilih dan kualiti program latihan bagi anggota-anggota polis harus juga dipertingkatkan supaya sejajar dengan cabaran masa kini. Begitu juga pembinaan Balai Polis baru dan rumah kediaman mereka perlu dipercepat agar kebajikan anggota dan keluarga mereka terus diberi perhatian. Dengan itu, saya merayu kepada kementerian yang berkenaan agar menyegerakan pembinaan Ibupejabat Polis Daerah Lipis kerana bangunan yang sedia ada telah usang dan tidak cukup lagi untuk menampung jumlah anggota yang sentiasa bertambah.

4. Di samping itu di kawasan parlimen Lipis terdapat juga sebuah kem Pasukan Polis Hutan yang telah ditinggalkan yang pada saya boleh dijadikan pusat latihan bagi anggota polis. Pada saya sekiranya kem ini tidak digunakan ia adalah satu pembaziran kerana kem tersebut hanya sempat digunakan beberapa tahun sahaja, setelah itu ditinggalkan kerana PPH telah di’downsize’kan telah ditukar nama sebaga PGA.


Tuan Yang Dipertua,

5. Seterusnya, kita tidak boleh lari dari memperkatakan soal ‘kemakmuran’. Biasanya, unjuran ekonomi kerap kali dijadikan kayu pengukur pencapaian kemajuan sebuah negara, pendapatan per kapita sebuah keluarga serta kestabilan geo ekonomi-politik. Bagaimanapun, kayu ukur kemakmuran yang mudah bagi ‘layman’ ialah makanan dan pemakanan. Di Malaysia, kita makan sekurang-kurangnya tiga, empat bahkan kadang kala lima kali sehari. Ini menunjukkan betapa makmurnya rakyat jelata. Ini termasuk warga asing yang secara sah atau tidak sah boleh menikmatinya dengan perut yang kenyang.

Tuan Yang Dipertua,

Saya menyokong penuh usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk “minda kelas pertama”. Bagi melahirkan modal insan berkualiti yang berpengetahuan dan berinovasi.
Saya percaya agensi-agensi yang berkenaan dapat memainkan peranan mereka dengan berkesan.


Pendidikan adalah penting kepada setiap orang untuk menjadikan seseorang itu seimbang dari segi rohani, emosi, jasmani dan intelek. Di samping itu, pendidikan juga dapat melahirkan insan yang bertanggungjawab, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia.

Pendidikan juga penting untuk memastikan sesebuah negara itu maju atau tidak. Tanpa pendidikan, sesebuah negara itu tidak dapat bersaing dengan negara membangun yang lain. Oleh itu, kerajaan Malaysia telah cuba sedaya upaya untuk memperkukuhkan program pendidikan dan latihan di mana kerajaan akan memfokuskan pada pendidikan luar bandar supaya semua pelajar sama ada di bandar atau di luar bandar mendapat pendidikan yang sama.

Memandangkan, terdapat ramai juga pelajar yang gagal melanjutkan pengajian ke IPTA yang berbentuk akademik, pihak kerajaan memberi perhatian kepada golongan ini dengan mempercepatkan pembinaan pusat Giat MARA. Ini menunjukkan bahawa kerajaan sangat menitik beratkan pendidikan di kalangan rakyat. Selain itu, saya yakin Kolej Komuniti juga merupakan wadah yang sesuai bagi kumpulan ini. Oleh itu saya berharap kerajaan juga meneruskan pembinaan Kolej Komuniti ini di setiap kawasan Parlimen seperti yang dirancang dahulu, terutamanya di kawasan-kawasan parlimen luar bandar. Dengan cara ini kerajaan dapat mengurangkan kos pembelajaran kepada rakyat.

Tuan Yang Di Pertua,

Untuk memupuk minda kelas pertama pula, kerajaan terus berusaha untuk menjadikan institusi-institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa. Bagi saya menjadikan IPT bertaraf antara bangsa saja tidak mencukupi. Apa yang penting ialah membudayakan amalan-amalan minda kelas pertama ini dalam perlakuan dan cara hidup seharian kita. Kerajaan juga harus mem’benchmark’kan amalan kita dengan amalan minda kelas pertama antara bangsa. Sebelum itu kita juga harus menyediakan satu standard mengenai apa yang dikatakan sebagai minda kelas pertama. Jika ini tidak dilakukan semua orang kabur dengan definisi minda kelas pertama dan akhirnya mereka membuat tafsiran sendiri tentang minda kelas pertama ini mengikut selera dan kepentingan masing-masing.

6. Seterusnya kualiti rakyat yang berminda kelas pertama ini hanya terjana menerusi amalan dan etika kerja yang baik, budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat. Pendidikan dalam konteks semasa memerlukan dinamisme yang lebih berdaya saing kerana saingan kita semakin canggih. Kita memerlukan bukan hanya sistem pendidikan yang kemuncaknya ialah proses pengijazahan, malah penghayatan ilmu dalam bentuk yang tersirat. Ilmu itu tersirat dalam perwatakan, pembicaraan dan keperibadian seseorang. Ia tersirat dan semakin mantap sepanjang hayat kerana proses pembelajaran tidak terhenti dalam majlis konvokesyen. Sebagai contoh, bagaimana hendak melakukan pemodenan pada petani-petani sedangkan sebahagian besar pegawai-pegawai pertanian yang ada masih berfikiran lama.

7. Saya percaya, hal ini dapat diamalkan menerusi pembacaan yang lancar dan pelbagai, majlis ilmu yang sentiasa meriah dan penonjolan tokoh ilmu sebagai model ikutan masyarakat. Ketika membincangkan kepentingan dan ideal ilmu, bekas Presiden Universiti Chicago, Dr Robert Hutcin, ada menyebutkan mengenai tradisi ilmu dalam sesebuah masyarakat ialah meletakkan nilai ilmu pada martabat tertinggi.

8. Bagi masyarakat sedemikian, nilai ilmu mengatasi segala-galanya, termasuk selebriti hiburan, harta mahupun status. Keadaan sedemikian pernah wujud dalam tradisi ilmu Barat dan ketika keagungan empayar Islam. Soalnya, apakah kita berjaya mewujudkan persekitaran ilmu yang sedemikian segar dan dinamik? Apakah percambahan IPT ketika ini mendokong pemantapan budaya ilmu yang memperteguhkan lagi daya saing dan daya fikir? Apakah tidak mustahil untuk kita menjadi pusat keilmuan di rantau ini dengan adanya universiti awam dan swasta yang mantap dan sekolah berkualiti?

Tuan Yang Dipertua,

9. Sektor pertanian telah memainkan peranan yang besar pada awal tahun 1920-an menerusi industri getah yang mengangkat nama Malaysia sebagai pengeluar getah asli utama dunia sehingga tahun 1980-an. Ekonomi negara selepas merdeka dimonopoli oleh aktiviti-aktiviti pertanian dan perlombongan sehinggakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada ketika itu menunjukkan sumbangan sektor pertanian dan perlombongan mencecah angka 46 peratus.

10. Inisiatif penubuhan institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan pemulihan tanah seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi pembangunan wilayah pula telah mempergiatkan lagi pembukaan tanah baru untuk tanaman industri di samping mendokong matlamat membasmi kemiskinan.

11. Sementara itu, penubuhan agensi-agensi khusus seperti FAMA (1965), Bank Pertanian Malaysia (BPM) (1969), MARDI (1969), Lembaga Padi dan Beras Negara (1971), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (1971), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (1970), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) (1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) (1973) dan beberapa agensi lain telah membantu dari segi kemudahan pemasaran, penyelidikan, kredit dan khidmat sokongan kepada kumpulan sasar dan mempergiatkan lagi pembangunan sektor pertanian pada ketika itu.

12. Perdana Menteri, meletakkan keyakinan tinggi bahawa sektor pertanian dan asas tani ini mampu menjana bukan sahaja pendapatan petani-petani luar bandar malahan juga ekonomi negara. Kesungguhan beliau dalam memajukan sektor pertanian terbukti dalam pembentangan formula Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan yang telah memperuntukkan sejumlah wang yang amat besar kepada sektor itu.

13. Saya melihat transformasi sektor pertanian ke arah yang lebih dinamik dan berdaya saing dalam RMK-9 bertujuan untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi para petani dan negara selain bertujuan untuk mengurangkan pergantungan terhadap barangan import bahan makanan dalam jangka masa panjang yang mana pada masa ini imbangan import bahan makanan masih lagi melebihi kemampuan mengeksport.

14. Berdasarkan tumpuan yang serius daripada Perdana Menteri kita ini, saya amat berharap pihak institusi perbankan memberi kepercayaan terhadap mereka yang terbabit dalam sektor pertanian dengan memudahkan proses pinjaman sejajar dengan dasar dan penumpuan kerajaan terhadap enjin ketiga ini. Kita mahu bank-bank di negara kita melihat dari sudut berbeza dengan memberi keyakinan yang lebih tinggi dalam membantu para petani kita meningkatkan kualiti dan taraf mereka dari taraf petani tradisional kepada petani moden. Lihat sahaja petani di Thailand atau di Jepun, kebanyakan mereka telah mencapai petani moden dan jutawan.

Tuan Yang Dipertua,

Dari segi menangani ketidaksaksamaan sosioekonomi yang berterusan, dalam RMK 9, kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk membasmi kemiskinan dan kemiskinan tegar di kalangan penduduk bandar dan luar bandar. Kita harus memuji kerajaan kerana berjaya mengurangkan insiden kemiskinan tegar dari 1.2 peratus kepada 0.7 peratus jumlah penduduk dan pengurangan insiden kemiskinan keseluruhannya dari 5.7 peratus kepada 3.6 peratus. Malah, usaha merapatkan jurang pendapatan antara desa dan bandar dari 1:2.11 kepada 1:1.99 melepasi sasaran bagi tahun 2010. Ini menunjukkan bahawa kerajaan kita masih mengambil berat pada penduduknya.


15. Menyentuh soal kemiskinan ini, kita tahu masalah tersebut banyak berpunca daripada cara pengagihan kekayaan yang tidak sempurna. Keadaan ini diburukkan lagi oleh sistem penyaluran sumber modal yang lebih memihak kepada golongan kaya di mana mereka lebih senang memperoleh pembiayaan atau pinjaman daripada institusi kewangan.

16. Dalam hal ini, golongan kurang berkemampuan terus terpinggir kerana mereka biasanya berhadapan dengan pelbagai halangan yang dikenakan oleh pihak bank. Menurut pakar-pakar dalam bidang pembangunan, kaedah pinjaman kecil merupakan satu cara terbaik untuk membasmi kemiskinan.

17. Di sini, saya ingin mengesyorkan peranan wakaf tunai dalam menyediakan kemudahan pinjaman kecil (mikro kredit) tanpa faedah kepada golongan miskin. Bagi mewujudkan satu kerangka wakaf yang berperanan dalam memberi pinjaman kecil tanpa faedah, aset utama wakaf tadi perlu wujud dalam bentuk tunai.

18. Ini bermakna dua pendekatan boleh diguna pakai iaitu pertama, menerusi pewujudan penjamin kecairan dan penjamin kerugian di mana ia diutarakan oleh Dr Muhammad Anas Zarqa dalam kertas pembentangan bertajuk ‘Monetary Waqf For Micro Finance’ dalam satu symposium anjuran Harvard Law School, tahun lalu.

19. Berdasarkan landasan itu, zakat boleh dilihat sebagai penjamin kecairan dalam menyuntik dana kepada mikro kredit tersebut, manakala perkhidmatan takaful boleh bertindak sebagai penjamin kerugian. Di Malaysia, para pengendali takaful ada menawarkan produk bertujuan melindungi peminjam daripada gagal membayar balik pinjaman akibat kematian atau keilatan kekal yang dialaminya semasa tempoh pinjaman.

20. Kos untuk menyertai takaful tadi adalah sangat rendah dan ini boleh dimasukkan ke dalam jumlah pinjaman yang dibuat. Saya percaya dengan usaha untuk memajukan cadangan sedemikian akan memperlihatkan keupayaan wakaf tunai bertindak sebagai sumber pinjaman kecil bagi memajukan ekonomi masyarakat miskin adalah terletak di bahu setiap umat Islam yang mempunyai kuasa dan kemampuan.


Perkara keempat yang ingin saya bahaskan di sini adalah dari segi meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup. Di sini kerajaan haruslah menitikberatkan pertumbuhan ekonomi negara di samping meningkatkan kualiti hidup untuk seluruh rakyat Malaysia.

Apa yang boleh saya katakan di sini, di samping menjana ekonomi negara kerajaan juga haruslah menekankan faktor-faktor yang lain seperti penjagaan alam sekitar, pengkatan infrastruktur asas, rumah mesra rakyat untuk golongan pendapatan rendah dan sebagainya.

Dalam meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup, kerajaan perlu memberi penekanan yang lebih kepada golongan luar bandar dan golongan berpendapatan rendah.

Selain daripada menitikberatkan golongan luar bandar, kerajaan Malaysia juga haruslah menekankan isu penjagaan alam sekitar seperti memastikan kualiti air dan udara bersih.

Baru-baru ini saya dan penduduk kampung Lipis telah melawat ke lombong emas di Penjom dan kami dapati bahawa lombong tersebut amat menitikberatkan penjagaan alam sekitar di mana air yang mengandungi bahan kimia telah disalurkan di tempat yang betul dan mereka akan membuat pemeriksaan sampel air yang masuk setiap dua jam oleh konsultan dari luar negara. Selain daripada itu, syarikat tersebut juga telah memulihara tempat tersebut dengan mewujudkan landskap dan menutup dengan tanah, menanam tumbuhan serta mengadakan longkang simen untuk saliran. Oleh itu, pihak kerajaan perlulah menjadikan syarikat ini sebagai contoh kepada syarikat-syarikat lain.

Di samping penjagaan alam sekitar, syarikat lombong emas ini juga adalah salah satu syarikat yang memberi banyak manfaat kepada ekonomi negara dan ekonomi penduduk tempatan. Ini adalah kerana kebanyakan pekerja yang bekerja di lombong ini terdiri daripada orang Melayu iaitu dari peringkat atasan sehinggalah ke peringkat bawahan.

Tuan Yang Di Pertua

Akhir sekali, saya ingin menekan mengenai teras 5 RMK9 di mana kerajaan cuba untuk mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.

Tuan Yang Di Pertua

21. Memandangkan ekonomi negara terus pesat apatah lagi pada tahun 2008, saya percaya pertumbuhan KDNK sebenar dijangka berkembang kepada lebih 6.3 peratus. Perkembangan arus ekonomi itu dilihat berdasarkan pengembangan berterusan aktiviti sektor swasta serta dasar dan strategi kerajaan yang pragmatik dalam mempelbagaikan sumber pertumbuhan baru. Sehubungan itu, syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan iaitu (GLC) perlu memainkan peranan yang amat besar dalam menjayakan agenda Misi Nasional.

22. Pernah satu ketika dulu, kerajaan ada menyebut empat kriteria utama di ambil kira dalam melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) bagi menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kriteria itu ialah mempunyai integriti, rajin, cerdik dan memiliki sifat bermuhasabah serta sanggup menerima teguran dan pandangan orang lain, di samping mengelak sifat sombong. Jadi peneraju GLC pada masa ini harus faham akan matlamat asal mewujudkan GLC demi kepentingan negara. Kefahaman dan penghayatan ini penting kerana peranan GLC adalah sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi. GLC juga bertanggungjawab memberikan perkhidmatan strategik seperti pengangkutan, air, telekomunikasi, perbankan, penerbangan dan makanan.

23. Hari ini pun, sekurang-kurangnya 50 GLC yang tersenarai di Bursa Malaysia mencatatkan lebih 36 peratus modal pasaran bursa itu. Secara terkumpul GLC adalah majikan terbesar selepas kerajaan, membabitkan antara tujuh hingga lapan peratus tenaga kerja negara. Lebih penting lagi GLC sebenarnya mencerminkan keadaan 'kesihatan' ekonomi negara. GLC juga ada kaitannya dengan kedudukan ekonomi Bumiputera serta pegangan ekuiti mereka secara keseluruhan. GLC menjadi lambang kejayaan pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara.

24. Kita mahu GLC menjadi sebuah syarikat raksasa atau multinational companies (MNC) yang mampu mengubah atur cara dan struktur ekonomi dunia. Cuba kita lihat daripada 100 'ekonomi' yang terbesar di dunia, hanya 47 adalah negara bangsa (nation states), selebihnya adalah MNC. Sebuah MNC, seperti Exxon-Mobil dari segi jualan melebihi Keluaran Negara Kasar (GDP) semua negara melainkan 20 negara di dunia. Dalam konteks ini, GLC di Malaysia sepatutnya boleh menjadi MNC. Malah membina empayar niaga yang nilai dan hala tujunya selari dengan tuntutan Islam dan keperluan negara tentulah membawa banyak makna pada negara ini.

25. Lebih banyak GLC harus mengikut jejak Petronas yang menjadi salah sebuah syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500. Justeru itu, GLC harus diteliti dengan kanta dan semangat keterbukaan yang baru. GLC juga harus bersedia mengubah cara dan pendekatannya. Kita mahu GLC mempunyai amanah yang besar dalam menjayakan aspirasi bangsa dan negara khususnya memastikan RMK-9 menjadi kenyataan. Amanah itu tidak boleh diabaikan. GLC perlu terus berani meneroka dan bersaing merebut peluang-peluang perniagaan di persada antara bangsa. GLC ini tidak hanya gagah di Malaysia sebagai “jaguh kampung” dan berebut projek dengan kontraktor-kontraktor tempatan tetapi harus juga gagah dipersada antarabangsa. Peluang pendedahan ini perlu kerajaan beri perhatian, agar kepakaran dan tenaga kerja tempatan ini dapat diketengahkan.

26. Malah, saya berharap juga GLC ini dipastikan mengambil siswazah yang menganggur. Walaupun di bawah Khazanah Nasional Berhad telah menempatkan 1,132 siswazah yang menganggur di sembilan GLC milik perbadanan itu pada tahun sebelum ini, tetapi ia terlalu rendah. Sedangkan kita mempunyai lebih 30,000 graduan yang menganggur. Tak mungkin kesemua graduan yang menganggur tidak sesuai di dalam bidang yang diceburi oleh GLC? GLC ada cawangan di merata dunia, tak adakah siswazah ini yang layak mengisi jawatan yang ada?

Tuan Yang Dipertua,


27. Saya ingin menyentuh soal Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kita semua tahu kerajaan negeri DAP, Pulau Pinang mengatakan akan mengenepikan DEB dan mengamalkan sistem tender terbuka, kerajaan PKR Selangor akan mengkaji semula perlaksanaan DEB dengan mengambil kira kaum-kaum lain yang kedudukan dan tahap ekonominya sama dengan Bumiputera. Kerajaan Perak tidak akan memberi penekanan terhadap pengkhususan DEB kepada masyarakat Melayu sahaja.

28. Adakah selama ini pun DEB benar-benar memberi manfaat kepada kaum Melayu sahaja. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh EPU pada tahun 2006, pemilikan ekuiti orang Melayu ialah 18.9 peratus, bukan Melayu (40.6 peratus) dan orang asing (40.5 peratus); pemilikan syarikat – orang Melayu (20.3 peratus), bukan Melayu (75.7 peratus) dan orang asing (4 peratus) dan mereka yang memegang jawatan CEO – orang Melayu (20 peratus), bukan Melayu (70.4 peratus) dan orang asing (9.6 peratus).

29. Sekarang ini siapa yang lebih daif atau kurang mendapat tempat atau seolah-olah dipinggirkan di tanah sendiri, kalau bukannya masih golongan Bumiputera atau orang Melayu. Sebab itu, kita masih memerlukan semangat DEB sebagai lonjakan deras kedua dalam memastikan orang Melayu akan terus maju dan maju tanpa menidakkan hak untuk maju kaum-kaum lain di Malaysia. Jika bukan kerana DEB, mungkin ada di antara Yang Berhormat sekarang berada merempat dan mungkin menjadi pelarian.

30. Seperti yang saya katakan dalam ucapan dasar saya dahului, Dalam Kajian Separuh Penggal RMK9 perlu atas kesinambungan khusus membantu penduduk di kawasan luar Bandar, saya berharap peruntukan bagi projek-projek mega yang tidak perlu dilaksanakan perlulah disalurkan ke kawasan-kawasan luar bandar yang masih daif.




Tuan Yang Dipertua, saya mohon menyokong.

No comments: