Thursday, June 24, 2010

RM4,000 dapat pinjaman PTPTN

Mulai 1 Julai ini pelajar daripada keluarga yang berpendapatan bersih kurang RM4,000 sebulan layak menerima pinjaman penuh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk yuran pengajian dan sara hidup di universiti, berbanding RM3,000 sebulan sebelum ini. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kelonggaran syarat dipersetujui oleh Kabinet bagi mengurangkan beban keluarga pelajar terbabit, selain memperluaskan peluang lebih ramai pelajar memohon pinjaman PTPTN.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan hanya pelajar keluarga berpendapatan bersih kurang RM3,000 layak menerima pinjaman penuh, manakala pendapatan RM3,000 hingga RM5,000 layak menerima sebahagian kadar penuh dan bergaji bersih RM5,000 ke atas mendapat kadar yuran pengajian.

Langkah ini bagi menggalakkan pelajar terbabit meneruskan pengajian ke universiti selain mahu pinjaman PTPTN dinikmati lebih ramai pelajar pada masa depan, katanya selepas merasmikan Seminar Halatuju Pembangunan Keusahawanan Institut Pengajian Tinggi (IPT), di sini semalam. IPT di seluruh negara bakal menerima hampir 200,000 pelajar baru tahun ini membabitkan pinjaman PTPTN yang diluluskan RM3 bilion. Pada majlis itu, Mohamed Khaled berkata, setiap IPT dicadangkan menubuhkan pusat keusahawanan bertaraf Pusat Tanggungjawab di IPT masing-masing, selaras teras pertama Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT dengan diketuai seorang koordinator keusahawanan. Beliau berkata, penubuhan pusat keusahawanan di IPT amat signifikan sebagai entiti yang akan merancang, menyelaras, memantau dan menilai segala program pembangunan keusahawanan dan bertindak sebagai contact point dalam hal ehwal pembangunan keusahawanan IPT berkenaan. Katanya, kementerian akan memperuntukkan RM5.55 juta untuk diagihkan kepada 21 IPT, Jabatan Pengajian Komuniti dan Jabatan Pengajian Politeknik di seluruh negara untuk menubuhkan Pusat Keusahawanan dan pelaksanaan program pembudayaan keusahawanan dengan masing-masing menerima peruntukan RM250,000.

No comments: