Wednesday, June 10, 2009

Rumah warga emas dibaik pulih


KUALA LIPIS 9 Jun - Keperitan hidup seorang warga emas sedikit terubat apabila rumahnya yang usang dibaik pulih dalam program gotong-royong yang diadakan di Kampung Jeram Landak, dekat sini
Kerja-kerja gotong-royong membaik pulih rumah Majid Embor, 74, itu dilakukan dengan kerjasama 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) Lipis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Lipis, pejabat Ahli Parlimen Lipis dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jeram Landak.
Turut terlibat ialah Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrom Osman.
Mohamed Shahrom berkata, sebanyak RM7,000 diperuntukkan untuk membeli peralatan binaan termasuk atap, simen dan papan.
''Setelah menerima laporan JKKK di sini, kita rasa terpanggil untuk membaik pulih rumah warga emas ini.
''Rumah usang ini perlu dibaik pulih segera kerana struktur binaannya seperti dinding, bumbung dan lantai rosak teruk dan mengancam keselamatan penghuni jika dibiarkan berterusan," katanya kepada Utusan Malaysia selepas program gotong-royong di Kampung Jeram Landak hari ini.
Hadir sama, Penghulu Mukim Cheka Dua, Hassan Mohamad, Ketua Kampung Jeram Landak, Isa Yusof dan Pegawai Pemerintah 8 RAMD Lipis, Leftenan Kolonel Azman Mohamad Yassin.
Menurut Mohamed Shahrom, pihaknya mengambil inisiatif membaik pulih rumah warga emas itu kerana proses permohonan mendapatkan rumah di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) mengambil masa yang agak lama sedangkan warga emas terbabit memerlukan segera kediaman yang selesa.
''Sebagai alternatif, kita mendapatkan sumbangan kewangan dan bantuan beberapa jabatan, agensi dan penduduk untuk bergotong-royong membina rumah warga emas ini," katanya.
Menurutnya, kerja-kerja menyiapkan rumah itu mengambil masa kira-kira seminggu.
Sementara itu, Majid yang juga seorang duda yang mempunyai seorang anak berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu membaik pulih rumahnya.

No comments: